IPOH 15 Mei – Perak terus meletakkan dirinya sebagai hab ekonomi digital serantau menerusi pemeteraian kerjasama strategik antara Cahya Suria Services Sdn Bhd dan Suzhou EnnoTHING Technology Co., Ltd. bagi membangunkan Taman Digital AI NexQuantum di negeri itu.
Kerjasama yang dilaksanakan menerusi NexQuantum 1 Sdn Bhd itu bertujuan mempercepatkan agenda digital Perak sambil menyokong transformasi digital Malaysia serta memperkukuh hubungan ekonomi digital serantau melibatkan ASEAN dan Greater Asia.
Majlis pemeteraian kerjasama strategik yang berlangsung di Ipoh pada Khamis diserikan dengan kehadiran Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama pemain industri, pelabur dan rakan teknologi antarabangsa.
Di bawah pelan induk lebih besar, Taman Digital AI NexQuantum dirancang sebagai platform infrastruktur digital jangka panjang yang merangkumi lapan cadangan fasiliti pusat data, dengan NQ1 bakal menjadi pembangunan utama pertama.
NQ1 dicadangkan sebagai pusat data Tier III berkapasiti 32 megawatt (MW) yang lengkap dengan teknologi penyejukan cecair serta direka khusus untuk memenuhi keperluan kecerdasan buatan (AI), melibatkan anggaran pelaburan RM1 bilion di Perak.
Projek itu dijangka menyokong permintaan digital generasi baharu termasuk pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi, infrastruktur data selamat, perkhidmatan awan, keselamatan siber dan aplikasi digital perusahaan.
Perak Sasar Peranan Lebih Besar Dalam Ekonomi Digital Asia
Menurut pihak terlibat, kerjasama tersebut menggabungkan kekuatan Cahya Suria Services dalam pembangunan dan pelaksanaan projek tempatan dengan kepakaran teknologi antarabangsa Suzhou EnnoTHING yang berkait dengan ekosistem Foxconn Ennoconn.
Kerjasama itu juga dijangka memperkukuh ekosistem digital Perak menerusi pendedahan kepada teknologi pembuatan pintar, internet industri, automasi, pengkomputeran awan dan edge computing, pemantauan pintar serta sistem industri digital.
Mewakili Cahya Suria Services dan NexQuantum 1, Ong Teng Boon berkata, projek tersebut bukan sekadar pembangunan hartanah atau pusat data biasa, sebaliknya platform infrastruktur digital yang lahir dari Perak untuk memenuhi keperluan ekonomi digital Greater Asia.
Beliau berkata, projek itu selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 menerusi usaha menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh penyertaan PKS tempatan, pembangunan bakat dan menjadikan Perak destinasi ekonomi digital yang lebih berdaya saing.
Sementara itu, Liu Huoping yang mewakili Suzhou EnnoTHING Technology menyifatkan kerjasama tersebut sebagai komitmen jangka panjang untuk membangunkan ekosistem infrastruktur digital berasaskan teknologi yang mampu menyokong permintaan AI dan ekonomi digital serantau pada masa depan.
Pihak terlibat menegaskan pembangunan projek itu masih tertakluk kepada kelulusan perancangan, teknikal dan kawal selia berkaitan, selain akan dilaksanakan secara tersusun serta bertanggungjawab dengan penekanan terhadap kelestarian, penyelarasan pihak berkepentingan dan keyakinan awam jangka panjang. - DagangNews.com








