KUALA LUMPUR 20 Nov - Menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan ASEAN akan membuka ruang pertumbuhan baharu dan meningkatkan keterhubungan serantau, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu antara mesej yang disampaikan ketika pertemuannya dengan Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf di Addis Ababa, Ethiopia.
Beliau berkata Malaysia juga bersedia berkongsi kepakarannya dalam pelbagai bidang selaras dengan agenda pembangunan Afrika.
Ini termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan serta sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit.
“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika, berasaskan persahabatan tulen, solidariti serta persefahaman dan rasa hormat bersama,” katanya yang berkongsi pertemuan tersebut menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Mahamoud atas pelantikannya sebagai Pesuruhjaya AUC pada September lalu.
“Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa akan menjadi pemangkin penting untuk memperluas rangkaian kerjasama dengan negara-negara di bawah Kesatuan Afrika,” katanya.
Kesatuan Afrika ialah sebuah organisasi yang mempunyai 55 negara anggota dan ditubuhkan pada tahun 2002. - DagangNews.com








