Tatkala usia menginjak senja, dan langkah tidak lagi selincah dahulu, saya sesekali menoleh ke belakang — bukan dalam sesalan, tetapi dalam perenungan yang syahdu. Dunia berubah. Jalan raya bertukar wajah. Kenderaan bertambah, berkilauan di bawah mentari dan cahaya neon.
Namun, saya kekal begini — seorang warga emas yang tidak membeli kereta sejak lebih empat dekad yang lalu.
Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana sejak mula melangkah ke alam pekerjaan, kereta sudah menjadi sebahagian daripada tanggungan majikan. Mereka menyediakan kenderaan, pemandu kadang-kala, dan segala kos yang berkaitan.
Saya hanya perlu memandu kehidupan saya, dan menyerahkan hal-hal roda kepada yang ditugaskan. Dari situ, bermulalah satu gaya hidup yang membebaskan saya daripada beban hutang ansuran, cukai jalan, insurans, dan servis berkala — hal-hal yang mengikat ramai warga hingga kini.
Sejak mula bekerja pada akhir 1980-an, majikan saya di Malaysia atau ketika saya berhijrah ke Timur Tengah — menyediakan kenderaan rasmi, kekadang lengkap dengan pemandu pada peringkat tertentu, namun saya tidak pernah terlalu terpaut pada kemewahan dunia automotif.
Kini, sebagai warga emas OKU yang pernah terkena strok, saya lebih banyak berada di rumah. Saya tidak lagi memandu, tetapi itu tidak menghalang minat saya terhadap dunia kenderaan — terutamanya kereta elektrik yang sedang melanda pasaran global.
Dalam sunyi rumah saya, skrin komputer menjadi tingkap ke dunia luar. Saya menonton video-video dari Shanghai Auto Show di YouTube, dan apa yang saya lihat amat mengkagumkan.

Kenangan Jalan Raya Dubai
Namun, antara segala babak dalam hidup saya, yang paling sering hadir dalam mimpi dan ingatan adalah era 18 tahun saya di Dubai — sebuah kota yang mekar dari padang pasir menjadi metropolis yang mengagumkan.
Di situ, saya bukan sahaja menjadi pemegang lesen memandu Emiriah, tetapi juga penumpang nasib yang dirahmati dengan kawan-kawan berhati emas.
Seorang sahabat, usahawan kereta mewah sewaan — sering meminjamkan saya pelbagai jenis jentera berjenama dunia. Saya pernah menggenggam stereng Rolls Royce Phantom, merasai kelajuan BMW M5, memandu Hummer H2 seolah-olah berada di tengah gurun, serta menelusuri lebuhraya Sheikh Zayed dalam Audi A8 dan Mercedes-Benz S-Class.
Bayangkan, seorang anak Melayu dari Kelana Jaya memandu di bumi Arab dengan kereta yang sering hanya ditatap di kaca televisyen atau majalah automotif.
Saya bukan pemilik, tetapi tetap bersyukur. Dunia meminjamkan pengalaman, dan saya menyimpannya dalam arkib hati.
Malaysia dan Angka Milikan
Menurut laporan International Organization of Motor Vehicle Manufacturers (OICA), Malaysia mencatatkan kedudukan kedua tertinggi di Asia dalam kadar pemilikan kenderaan per kapita antara tahun 2015 hingga 2020.
Dengan 535 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk, kita hanya ketinggalan di belakang Jepun yang mencatatkan 612 kenderaan bagi jumlah sama. Angka ini mengejutkan, mengingatkan kita bahawa jalan-jalan di Malaysia, dari Pekan ke Petaling Jaya, dari Langkawi ke Lahad Datu, semakin padat dengan keluli bergerak.
Namun persoalannya — adakah angka pemilikan yang tinggi ini satu kebanggaan, atau petanda kebergantungan yang membimbangkan?

Kenderaan sebagai Status dan Beban
Di negara ini, kereta bukan sahaja alat pengangkutan. Ia simbol kejayaan, penanda taraf hidup, dan kadang-kala — sayangnya — ukuran harga diri. Anak muda membeli kereta sebelum rumah. Hutang kereta berlanjutan sedangkan gaji tidak bertambah. Ada yang membeli hanya kerana ingin menunjuk, bukan demi keperluan.
Saya perhati dari sisi warga emas — menggeleng kepala, bukan dalam sinis tetapi dalam simpati. Dunia semakin mempercepatkan manusia dalam perlumbaan imej.
Kita tidak lagi membeli kereta untuk memudahkan perjalanan, tetapi untuk menyukarkan jiwa yang terbelenggu dengan bayaran bulanan.
Munculnya Era EV: Tesla, BYD dan Jalan ke Hadapan
Kini, seakan muncul fajar baru dalam dunia automotif. Kenderaan elektrik (EV) mula mencuri perhatian — senyap, pantas, bersih dari asap, tetapi penuh persoalan. Tesla, yang lahir dari impian Elon Musk, menjadi lambang revolusi moden.
Sementara itu, syarikat China seperti BYD, Nio dan Xpeng datang mengejar, malah ada yang mendahului.
Saya pernah menumpang Tesla, kereta seorang sahabat sekelas meluncur di lebuhraya menuju Kuantan, dan hati terdetik — inikah masa depan?
Dan kini, semakin banyak kereta buatan China memasuki pasaran Malaysia dengan harga lebih mampu milik, reka bentuk futuristik dan teknologi canggih. BYD Dolphin, Atto 3, dan Seal menjadi buah mulut generasi baharu.
Malah, saya terbaca laporan bahawa BYD kini menjadi antara pengeluar EV terbesar dunia, mengatasi Tesla dalam jumlah pengeluaran global. China, yang suatu ketika dahulu hanya dikenali sebagai kilang dunia, kini menjadi pencetus inovasi. Saya terkenang ketika tinggal di UAE — betapa kita mengagumi produk Barat. Kini, kiblat teknologi sudah mula beralih.
Apa Erti Kenderaan dalam Dunia Baharu?
Sebagai seorang warga emas, saya tidak terburu-buru untuk menukar gaya hidup. Saya tidak lagi memandu. Namun, saya melihat EV bukan semata-mata sebagai kereta baharu, tetapi sebagai simbol perubahan. Dunia semakin sedar tentang perubahan iklim.

Petrol dan diesel menjadi warisan masa lalu. Bunyi enjin digantikan dengan desiran angin dan paparan digital. Anak muda bercakap tentang pengecas pantas, jarak bateri, dan mod pemanduan autonomi.
Saya membayangkan anak saya nanti tidak lagi perlu belajar “minyak hitam”, “radiator bocor” atau “gear rosak”. Mereka hanya tekan butang, dan kereta memandu sendiri ke destinasi.
Namun, saya juga bimbang — adakah kita bersedia dari sudut infrastruktur? Di Kelana Jaya ini, pengecas EV masih tiada. Harga EV, walau semakin menurun, tetap tinggi untuk rakyat marhaen. Dan yang lebih penting, adakah ini semua benar-benar lestari, atau hanya transformasi dari satu bentuk konsumerisme kepada bentuk yang lain?
Dari Petrol ke Elektrik: Suatu Evolusi yang Sunyi
Saya masih ingat ketika pertama kali naik kereta Volkswagen Beetle kepunyaan aruah abah 1970-an. Bunyi enjinnya kasar, baunya kuat, dan tingkapnya perlu dipusing dengan tangan. Ketika saya menjadi remaja, dunia diperkenalkan kepada kereta Jepun seperti Datsun, Toyota dan Honda — ringkas, cekap minyak, dan mampu milik.
Zaman saya bekerja pula menyaksikan pengaruh kereta Eropah — BMW dengan bunyi pintunya yang mantap, Mercedes dengan reputasinya yang elegan. Namun semua itu kini seperti tinggal nostalgia.
Hari ini, kereta elektrik tampil bukan sekadar pengganti — malah cabaran kepada seluruh paradigma automotif. Dan mengejutkan, bukan dari Detroit atau Munich, tetapi dari Shanghai, Shenzhen dan Chengdu.
Shanghai Auto Show: Di Hadapan Skrin, Saya Terkedu
Melalui YouTube, saya menonton Shanghai Auto Show, pameran kereta terbesar di Asia dan antara yang paling berpengaruh di dunia. Saya menatap layar dengan rasa kagum yang sukar diungkap.
Deretan kenderaan elektrik (EV) dari syarikat China seperti Zeekr, Aito, Li Auto, IM Motors, Voyah, BYD, NIO dan XPeng, dipamerkan dengan penuh yakin dan keanggunan. Rekabentuknya moden, malah futuristik.
Paparan skrin melengkung sebesar televisyen, sistem kecerdasan buatan terbina dalam, teknologi bantuan pemandu generasi baharu, bahkan ciri realiti tambahan (AR) yang bertindak sebagai jurupandu maya — semuanya menjadikan saya hampir terlupa bahawa ini hanyalah kereta.
Kenderaan ini bukan sekadar alat untuk bergerak. Ia kini menjadi komputer atas roda, ruang tamu bergerak, malah sahabat jalanan yang memahami corak pemanduan kita. Saya termenung. Negara yang dahulu dituduh sebagai ‘peniru’ kini tampil sebagai pencipta. China tidak lagi mengejar — mereka sudah di hadapan.

Antara Tesla dan BYD: Siapa Juara Masa Depan?
Di awal kebangkitan EV, dunia memandang Tesla sebagai revolusioner — ikon perubahan daripada petrol kepada elektrik. Elon Musk dianggap perintis masa depan. Namun, pada tahun-tahun terkini, BYD (Build Your Dreams) dari China mengejar dengan pantas. Malah, pada beberapa suku tahun kebelakangan ini, BYD telah mengatasi Tesla dari segi jumlah jualan global EV.
Bagi saya sebagai warga emas, tidak besar perbezaan antara Tesla dan BYD. Kedua-duanya kelihatan moden, digital, dan hampir tiada ‘jiwa’ seperti kereta zaman dahulu. Bau kulit tempat duduk sudah tiada, bunyi enjin yang garang juga lenyap. Semuanya senyap, licin, dan seakan ‘steril’.
Tetapi itulah masa depan — dunia tanpa asap, tanpa gegaran, tanpa kerosakan jantung akibat pencemaran.
Mengkaji, Menilai, Tapi Masih Keliru
Sejak beberapa tahun ini, saya mula mengkaji pelbagai jenama EV — terutamanya yang ditawarkan di pasaran China. Setiap hari saya menonton ulasan tentang Zeekr 001, Aito M9, Li Auto L9, dan BYD Seal. Semua kelihatan mengagumkan.
Tetapi bagi warga emas seperti saya, kesemua model itu kelihatan sama sahaja — sukar dibezakan kecuali melalui logo dan bentuk lampu.
Saya tertanya-tanya: adakah kenderaan ini benar-benar direka untuk orang seperti saya? Atau ia hanya mencerminkan gaya hidup generasi muda yang sentiasa tergesa-gesa, mahu semuanya di hujung jari dan memuja teknologi berbanding kehangatan kemanusiaan?
Mobiliti Masa Depan: Di Mana Warga Emas dan OKU?
Kenderaan elektrik seharusnya menjadi peluang, bukan halangan, bagi warga emas dan golongan OKU. Dengan operasi yang senyap, pemanduan satu pedal, dan sistem brek regeneratif, EV berpotensi menjadikan pemanduan lebih mudah bagi mereka yang mempunyai kekangan fizikal. Namun, realitinya tidak semudah itu.
Harga EV masih tinggi bagi golongan pesara. Tambahan pula, kemudahan pengecasan awam di Malaysia masih belum mesra OKU — jauh, sempit, dan memerlukan kemahiran digital yang tidak semua warga emas kuasai.
Saya membayangkan masa depan di mana EV datang ke rumah saya secara autonomi, menjemput saya ke klinik atau ke masjid, dan membawa saya pulang tanpa perlu memandu. Tapi itu masih dalam angan-angan.
Antara Dasar dan Kenyataan
Malaysia perlu bergerak lebih berani dalam menyediakan dasar EV yang inklusif. Warga emas dan OKU tidak boleh ditinggalkan.
Saya mencadangkan beberapa langkah:
1. Insentif subsidi EV untuk warga emas dan OKU — khusus untuk model kompak, mesra alam dan mesra dompet.
2. Pusat latihan EV untuk warga emas — bukan sekadar memandu, tetapi juga menggunakan ciri digital seperti navigasi, pengecasan, dan keselamatan.
3. Stesen pengecas mesra OKU — dilengkapi bumbung, kerusi, bantuan digital dan interaksi suara.
4. Perkhidmatan EV autonomi komuniti — kenderaan mini yang boleh dipanggil melalui telefon biasa, bukan semata-mata aplikasi pintar.
Dari Kota Shanghai ke Jalan-Jalan Kuala Lumpur
Menyaksikan pameran automotif di Shanghai Auto Show bukan hanya pengalaman visual. Ia adalah tamparan kepada minda. Dalam waktu beberapa dekad sahaja, China berubah daripada pengeluar motosikal murah kepada kuasa besar mobiliti global.
Malaysia, yang suatu ketika dahulu jauh lebih ke hadapan, kini mengejar dalam bayang-bayang.
Tetapi saya tidak menulis ini untuk mencela. Sebagai warga emas, saya percaya setiap negara ada masa dan ruang untuk berubah. Namun perubahan mesti didorong dengan keberanian dan kasih sayang — bukan semata-mata teknologi, tetapi kemanusiaan.
Kereta elektrik adalah alat. Mobiliti adalah hak. Dan warga emas adalah sebahagian daripada rakyat, bukan beban kepada sistem.

Teknologi dan Manusia: Siapa Memiliki Siapa?
Dalam hidup saya, kereta adalah alat, bukan tuan. Namun hari ini, ada yang bekerja semata-mata untuk membayar kereta. Ada yang berhutang hingga usia senja hanya kerana ingin memandu jenama tertentu. Ada pula yang menjadi pemandu e-hailing, membelanjakan gaji untuk membayar ansuran dan minyak, dalam kitaran yang tidak berpenghujung.
Teknologi sepatutnya membebaskan, bukan memperhambakan. Maka saya bertanya — adakah EV akan benar-benar mengubah corak kehidupan? Atau hanya menggantikan satu jenis belenggu dengan bentuk yang lebih moden?
Antara Kenangan dan Harapan
Saya tidak menyesal tidak membeli kereta sendiri. Hidup saya tetap penuh makna — dengan kenangan memandu kereta-kereta mewah yang hanya dipinjam, namun cukup untuk menjadi cerita kepada anak dan cucu. Saya lebih suka menyimpan kenangan daripada menyimpan kunci.
Namun saya juga tidak menolak masa depan. Jika satu hari nanti ada kereta elektrik bersaiz kecil, mesra OKU, mampu dicas dari rumah dan berharga bawah RM50,000 — mungkin saya akan pertimbangkan. Bukan untuk menunjuk, tetapi sebagai teman bergerak di hari tua, memudahkan saya bersiaran atau perpustakaan.
Kereta Sebagai Simbol Hayat
Hidup ini, bagi saya, umpama sebuah kereta. Ada masa kita di tempat duduk pemandu, ada masa kita di kerusi penumpang. Ada masa kita memecut di lebuhraya terbuka, ada masa kita tersangkut dalam kesesakan. Ada ketika kita berhenti, menoleh ke belakang. Ada masa juga kita buntu di simpang yang tiada papan tanda.
Kini saya bukan lagi pemandu. Tetapi saya masih penumpang dalam perjalanan hidup ini. Saya mungkin tidak lagi memegang stereng, tetapi saya masih memegang harapan — bahawa dunia ini akan terus bergerak ke hadapan, bukan dengan menindas yang lemah, tetapi dengan mengangkat semua yang terlupa.
Dan apabila saya menonton kereta-kereta EV buatan China bergerak senyap meluncur di atas pentas pameran Shanghai, saya melihat bukan sekadar logam dan teknologi. Saya melihat janji. Janji bahawa mobiliti masa depan tidak harus dilupakan oleh mereka yang rambutnya telah memutih dan langkahnya telah perlahan.

Akhir Kata: Jalan yang Kita Pilih
Malaysia sudah berada di persimpangan. Kita antara negara dengan pemilikan kereta tertinggi di Asia. Namun jalan masa depan menuntut kita berfikir semula — adakah kita mahu meneruskan budaya berhutang demi kenderaan, atau mencari model mobiliti yang lebih adil, lestari dan menyeluruh?
Sebagai warga emas, saya serahkan soalan itu kepada generasi muda. Namun biarlah pengalaman saya menjadi saksi — bahawa kereta bukan segalanya.
Yang penting ialah ke mana arah kita memandu hidup ini. Sama ada dalam Rolls Royce yang sunyi atau BYD yang senyap — yang menentukan bukan enjin, tetapi hati dan tujuan. - DagangNews.com
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen, pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan 40 Hadiah Sastera lain, masih aktif menulis 44 buah buku dan 30 e-buku e-sentral.com termasuk DagangNews.com








