Kerajaan tanggung lebih RM500 juta beku kenaikan tol di 10 lebuh raya tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan tanggung lebih RM500 juta beku kenaikan tol di 10 lebuh raya tahun ini

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kementerian Kewangan akan menanggung lebih RM500 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi mengekalkan kadar tol sedia ada di 10 lebuh raya utama sepanjang tahun ini, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Senarai lebuh raya terbabit adalah seperti berikut:

  1. Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA)

  2. Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR)

  3. Lebuhraya Pintasan Baru Utara Klang (NNKSB)

  4. Lebuhraya Senai–Desaru (SDE)

  5. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)

  6. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)

  7. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS)

  8. Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE)

  9. Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX)

  10. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)

 

Pembekuan kenaikan tol ini merupakan satu daripada inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia.

 

Syarikat Tersenarai Awam Terlibat

Beberapa syarikat tersenarai awam yang berkaitan dengan lebuh raya ini termasuk:

  • Bina Puri Holdings Bhd, pengendali LATAR

  • Taliworks Corp Bhd, pengendali GRANDSAGA dan NNKSB

  • Ekovest Bhd, pengendali DUKE

 

Syarikat konsesi lain yang terlibat termasuk:

  • Senai-Desaru Expressway Bhd (SDE)

  • PLUS Malaysia Bhd (LPT2)

  • SKVE Holdings Sdn Bhd (SKVE)

  • Jambatan Kedua Sdn Bhd milik penuh Kementerian Kewangan (JSAHMS)

  • Maju Expressway Sdn Bhd (MEX)

  • Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd (LLB)

 

Memastikan Penyelenggaraan Jalan Tidak Terjejas

Dalam kenyataan susulan, Nanta menjelaskan bahawa pampasan tersebut bertujuan memastikan operasi serta penyelenggaraan lebuh raya tidak terganggu dan kekal selamat walaupun kenaikan kadar tol yang telah dijadualkan sebelum ini ditangguhkan.

 

“Keputusan ini dibuat dengan penuh pertimbangan dan tanggungjawab,” kata beliau.

 

Tambah beliau, kenaikan tol sebenarnya telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi sebelum ini yang ditandatangani oleh pentadbiran terdahulu. Namun, kerajaan Madani memilih untuk menangguhkannya demi meringankan beban rakyat yang kini berdepan tekanan kos sara hidup.

 

“Penangguhan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna lebuh raya, terutamanya mereka yang berulang-alik setiap hari dari rumah ke tempat kerja,” katanya.

 

Nanta turut memberi jaminan bahawa Kementerian Kerja Raya akan terus berusaha memastikan semua jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara kekal selamat, diselenggara dengan baik, dan boleh diakses oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang. - DagangNews.com