PUTRAJAYA 10 Sept – Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan kedua-dua jawatan itu akan diwujudkan secara bebas dan setara di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas meneliti laporan akhir serta pelan hala tuju yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kabinet hari ini telah membuat satu keputusan bersejarah apabila kerajaan bersetuju secara prinsip untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” ujar Fahmi pada sidang media di Putrajaya.
Fahmi menjelaskan, Azalina telah membentangkan beberapa model pemisahan kepada mesyuarat Jemaah Menteri, hasil kajian mendalam melibatkan pelbagai sistem perundangan di peringkat antarabangsa.
Selepas perbincangan menyeluruh, Kabinet memutuskan bahawa pemisahan tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh, dengan kedua-dua jawatan akan diwujudkan secara bebas dan setara di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Ini menandakan komitmen kerajaan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan reformasi institusi yang lebih telus serta berakauntabiliti,” tambah Fahmi.
Langkah ini dilihat sebagai satu lagi inisiatif penting dalam agenda reformasi institusi negara, di mana pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan mengurangkan konflik kepentingan serta meningkatkan integriti sistem kehakiman.
Sementara itu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memberitahu bagi tujuan pengasingan kuasa itu kerajaan akan menggubal pindaan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42, bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Selain itu, satu rang undang-undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus bagi meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.
Kerajaan juga akan mewujudkan undang-undang baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, seumpama Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
Kenyataan itu juga menyebut Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan berkenaan dibuat secara berfasa dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
Justeru, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui BHEUU, bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan aspek pelaksanaan, termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.
Syor lengkap hasil perincian ini akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan lanjut.
Menurut kenyataan itu, langkah bersejarah ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang di bawah Kerajaan Madani.
“Ia bertujuan mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang, dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” kata kenyataan itu lagi. - DagangNews.com








