KUALA LUMPUR 8 Okt – Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan permintaan Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan autonomi dalam pembangunan ekonomi, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib.
Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah dan perlu diteliti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, sebarang langkah ke arah pemberian autonomi memerlukan permintaan rasmi daripada kerajaan negeri masing-masing, berserta jaminan keupayaan mereka dalam aspek tadbir urus, kewangan, sumber manusia dan pentadbiran.
“Kerajaan memahami hasrat Sabah dan Sarawak untuk mempunyai kuasa yang lebih besar dalam memacu pembangunan ekonomi negeri masing-masing, namun pelaksanaannya tidak semudah yang disangka.
“Insya-Allah, apabila telah ada persetujuan mengenai skop autonomi, perkara ini akan diumumkan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai pendirian kerajaan berhubung permintaan Sabah dan Sarawak untuk autonomi yang lebih besar dalam perancangan pembangunan ekonomi.
Hanifah berkata perkara ini turut dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Menjawab soalan utama Anyi mengenai perancangan strategik bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur asas di kawasan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Hanifah berkata, RMK13 akan memberi keutamaan kepada pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar, akses air bersih dan elektrik yang lebih baik, kemudahan pendidikan dan kesihatan serta peningkatan kesalinghubungan digital.
"Semua itu akan dilaksanakan berdasarkan data, keperluan rakyat dan keutamaan negeri," katanya.
Hanifah menambah, sistem pemantauan seperti MyRMK dan MyProjek akan digunakan bagi memastikan pelaksanaan projek yang telus dan sistematik.
Menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai jaminan bahawa kawasan kurang membangun tidak akan dipinggirkan, Hanifah berkata, RMK13 turut memberi penekanan kepada empat strategi utama termasuk, mempercepat pembangunan di wilayah yang ketinggalan dan memperkukuh integrasi ekonomi antara wilayah. - DagangNews.com








