Kerajaan peruntuk RM327 juta bangunkan Pelabuhan Darat Perlis - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan peruntuk RM327 juta bangunkan Pelabuhan Darat Perlis - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi membangunkan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang dijangka muncul sebagai hab logistik strategik negara dengan rangkaian pengangkutan darat sehingga ke Laos, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan ke rantau Indochina.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan PIP merupakan antara projek utama di bawah Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand yang dirangka bagi memperkukuh perdagangan rentas sempadan, meningkatkan kecekapan logistik serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Semenanjung.

 

"Kerajaan telah memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan PIP yang berfungsi sebagai hab logistik penting dengan jaringan yang menjangkau hingga ke Laos," katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta kerajaan menjelaskan manfaat ekonomi daripada pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand serta mekanisme bagi memastikan perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan turut menikmati limpahan manfaatnya.

 

Anwar berkata, kluster logistik PIP disasarkan mempunyai kapasiti pengendalian sehingga 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada fasa pertama sebelum kapasiti itu diperluaskan mengikut pertumbuhan perdagangan serantau.

 

Menurut beliau, pembangunan PIP akan diperkukuhkan menerusi integrasi dengan beberapa projek strategik lain di utara Semenanjung termasuk Chuping Valley Industrial Area di Perlis, Kulim Hi-Tech Park, Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City.

 

Katanya, pembangunan bersepadu itu dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing serta memperkukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab logistik dan perdagangan darat utama ke negara-negara Indochina.

 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia dan Thailand menyasarkan peningkatan perdagangan dua hala melalui pembangunan Zon Ekonomi Sempadan dengan memberi tumpuan kepada usaha memudah cara pergerakan eksport serta mempercepatkan proses kastam.

 

Langkah tersebut akan memudahkan penghantaran barangan ke pasaran seperti Laos, Kemboja dan Vietnam, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada sektor pertanian dan perikanan Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

 

Menurut Anwar, kelonggaran prosedur kastam dijangka mengurangkan halangan perdagangan yang sebelum ini menjejaskan kelancaran eksport ke negara-negara berkenaan. - DagangNews.com