MELAKA 12 Jun (Bernama) - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda transformasi TVET yang sedang giat dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu dikemukakan susulan pencapaian memberangsangkan pembangunan TVET di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk peningkatan jumlah pelajar yang menyertai program berkenaan.
"Saya menghargai peranan Majlis TVET, namun sebagai pihak yang turut memantau secara langsung perkembangan semasa, terdapat cadangan yang wajar dipertimbangkan, termasuk menjadikan TVET sebagai sebuah suruhanjaya.
"Kita akan lihat sejauh mana cadangan ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat berdasarkan perubahan yang sedang berlaku.
“Bayangkan jumlah pelajar dan jenis latihan yang semakin bertambah. Saya dan Kementerian Kewangan akan meneliti keperluan agar kemudahan TVET diberikan keutamaan, sama ada dari segi kelengkapan mesin, bentuk latihan, kepakaran, dan bagaimana sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta dapat diperkukuh bersama institusi TVET sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mencari kaedah bagi mengubah minda pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah menjadi teknousahawan pada masa hadapan.
Beliau berkata TVET menawarkan peluang cerah dalam sektor keusahawanan, dan sokongan kerajaan amat diperlukan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Terima kasih kepada ibu bapa yang semakin yakin dengan laluan pendidikan TVET ketika ini. Justeru, kita perlu mencari pendekatan baharu untuk mengubah pemikiran pelajar TVET agar mereka dapat menjadi teknousahawan.
"Setakat ini, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berjaya melahirkan 50 jutawan, antaranya usahawan paling berjaya yang mengeluarkan bateri kereta dan motosikal berjenama Bateriku.com," katanya.
Ahmad Zahid berkata ketika Malaysia sedang mengorak langkah menjadi negara maju, keterangkuman semua pihak untuk guna tenaga perlu diselaraskan, khususnya bagi membantu golongan yang sering terpinggir daripada sistem pendidikan negara.
"Majlis TVET Negara bertanggungjawab mengambil inisiatif untuk melibatkan anak-anak huffaz dalam program TVET agar masa depan mereka dapat dibina dengan lebih baik.
"Antara kejayaan yang boleh dibanggakan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menerima pelajar huffaz ke Fakulti Aeroangkasa dan Fakulti Maritim, serta Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang mempunyai 550 pelajar huffaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengikuti kursus kejuruteraan.
"Alhamdulillah sambutan cukup baik (daripada huffaz) dan kita mengalu-alukan kerjasama daripada mudir dan guru tahfiz untuk bersama-sama membina negara dengan memastikan masa depan anak-anak huffaz tidak dikompromi. Mereka terus menghafaz al-Quran dan dalam masa sama, turut menjadi jurutera," kata beliau. - BERNAMA








