KUALA LUMPUR 14 Okt - HeiTech Padu Bhd mengumumkan kerajaan telah menyemak semula nilai kontraknya bagi pembangunan dan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada RM1.05 bilion, meningkat 18% berbanding nilai asal RM892.2 juta yang dianugerahkan setahun lalu.
Perkembangan ini berlaku walaupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Julai lalu menegur pertindihan fungsi antara kontrak NIISe dengan sistem sedia ada yang diuruskan oleh Bestinet Sdn Bhd.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, HeiTech memaklumkan telah menerima pindaan kontrak tersebut pada Isnin, 13 Oktober, namun tiada penjelasan diberikan berhubung peningkatan nilai kontrak sebanyak RM157.8 juta itu.
Syarikat itu kini dikehendaki menyediakan bon pelaksanaan baharu bernilai RM10.52 juta atau tambahan RM1.6 juta bagi menyokong terma kontrak yang disemak semula.
Penyemakan ini dibuat di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap isu pertindihan sistem dan pembaziran sumber, memandangkan kerajaan telah mengesahkan penggunaan berterusan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) oleh Bestinet sehingga tahun 2031 — tiga tahun selepas jangkaan siapnya NIISe pada 2028.
Menurut PAC, FWCMS akan terus berfungsi sebagai platform pengantara antara majikan dan Jabatan Imigresen sepanjang tempoh kontraknya.
Sistem yang dikendalikan oleh Bestinet di bawah kontrak yang dianugerahkan pada September 2024 itu meliputi fungsi seperti permohonan kuota pekerja asing, pemprosesan visa dan pembaharuan permit — beberapa fungsi yang turut akan diliputi oleh NIISe.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
PAC sebelum ini telah memberi amaran kepada Kementerian Dalam Negeri agar memastikan tiada pertindihan fungsi atau pembaziran sumber antara kedua-dua sistem tersebut.
NIISe dirancang untuk menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang sudah usang dan akan merangkumi pengurusan pekerja asing serta ekspatriat, kawalan imigresen, pengeluaran pasport dan pemprosesan pas perjalanan.
Di bawah terma kontraknya, Bestinet bertanggungjawab terhadap pembangunan, sokongan, penyelenggaraan dan latihan berkaitan FWCMS, selain diwajibkan menyerahkan sistem itu kepada kerajaan tanpa kos sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kontrak tamat pada 2031.
Sementara itu, HeiTech yang memenangi kontrak asal NIISe pada Oktober 2024, akan terus menyelenggara sistem myIMMs sehingga Februari 2027 di bawah lanjutan kontrak berasingan.

Difahamkan, Zetrix AI Bhd kini memegang blok saham terbesar dalam HeiTech dengan pegangan 21.748%, manakala Rosetta Partners Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memiliki kepentingan sebanyak 18.91%.
HeiTech kini diterajui oleh Syed Omar Albar Syed Abdullah, bekas Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan Kemajuan Negeri Perak. Beliau mengambil alih jawatan itu selepas Hasrul Azuan Mohd Yusof meletakkan jawatan pada Mac 2025, selepas hanya tiga bulan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.
Hasrul dilantik pada 23 Disember 2024 menggantikan Salmi Nadia Mohd Hilmey yang melepaskan semua jawatan pada hari yang sama. Salmi, anak kepada pemegang saham dan ahli lembaga pengarah Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib, berkhidmat sebagai Pengarah Urusan selama lebih lapan bulan selepas dilantik pada 3 April 2024.
Saham HeiTech ditutup empat sen atau 1.74% lebih rendah kepada RM2.26 pada Isnin, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM368.3 juta. - DagangNews.com








