KUALA LUMPUR 28 Jan – Kerajaan disaran agar membangunkan projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) secara berperingkat di lokasi strategik bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan elektrik terutama di kawasan zon perindustrian.
Cadangan itu dikemukakan oleh P. Prabakaran (Pakatan Harapan-Batu) yang turut berharap agar satu garis panduan kawal selia serta inisiatif jelas dibuat untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor BESS di negara ini.
Katanya, tenaga kerja tempatan juga perlu dibangunkan dengan kemahiran serta kepakaran teknologi tinggi agar tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada teknologi dari luar.
“BESS akan menjadi komponen penting dalam memastikan keselamatan dan kelestarian tenaga negara, sambil mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil.
“Malaysia sedang melalui fasa peralihan tenaga boleh diperbaharui dengan cepat, dan negara tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada kaedah penjanaan tradisional tanpa sokongan sistem penyimpanan tenaga yang kukuh dan tahan lasak,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Menurut Prabakaran, BESS membolehkan tenaga berlebihan daripada sumber seperti solar dan angin disimpan untuk digunakan ketika permintaan tinggi.
“Dengan adanya kerangka peraturan yang jelas serta inisiatif untuk menggalakkan pelaburan dalam teknologi penyimpanan tenaga, sudah pasti BESS akan membantu menstabilkan grid elektrik negara.
“Pada masa sama, pembangunan kepakaran tempatan juga penting untuk memastikan matlamat kelestarian keselamatan negara tercapai.
“Secara tidak langsung, ia juga membuka peluang ekonomi melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan ekonomi rendah karbon dan meningkatkan daya saing jangka panjang.
“BESS bukan sekadar kemudahan teknikal, tetapi pelaburan strategik untuk melindungi keselamatan tenaga dan masa depan negara,” katanya. - DagangNews.com








