Kerajaan belanja RM480 juta biayai sebahagian RCLS RM1.1 bilion saham Vantris Energy - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan belanja RM480 juta biayai sebahagian RCLS RM1.1 bilion saham Vantris Energy - MOF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kerajaan akan membelanjakan RM480 juta daripada tambahan RM990.9 juta perbelanjaan pembangunan (DE) yang dimohon bagi 2025 untuk membiayai sebahagian langganan saham pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS) bernilai RM1.1 bilion dalam Vantris Energy Bhd.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) bagi membiayai sebahagian daripada langganan itu, manakala baki pembiayaan akan ditampung secara dalaman oleh MDH.

 

Usul perbelanjaan pembangunan tambahan itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis dan diluluskan tanpa perbahasan.

 

Beliau menegaskan penglibatan kerajaan dalam pemulihan Vantris Energy bukanlah satu bentuk bailout, sebaliknya langkah strategik untuk melindungi ekosistem minyak dan gas domestik.

 

"Suntikan oleh MDH adalah khusus bagi pembayaran kepada vendor, dengan lebih 1,400 vendor telah pun menerima bayaran," kata beliau. Suntikan modal itu diumumkan pada Mac 2025.

 

Amir berkata, Vantris Energy turut melaksanakan pembaharuan tadbir urus dan akauntabiliti termasuk rombakan lembaga pengarah bagi memperkukuh pemantauan, mempelbagaikan kepakaran serta memperketat mekanisme semak dan imbang di peringkat lembaga.

 

Syarikat itu juga mewujudkan jawatan Ketua Integriti dan Tadbir Urus (CIGO) yang melapor terus kepada Jawatankuasa Audit lembaga pengarah bagi meningkatkan pematuhan, pengawasan serta mencegah konflik kepentingan dalam fungsi integriti dan tadbir urus.

 

Pada 2018, Permodalan Nasional Bhd membelanjakan RM2.68 bilion untuk membeli saham hak tidak terjual syarikat berkenaan ketika masih dikenali sebagai Sapura Energy, yang dilihat sebagai talian hayat penting pada waktu itu. Dana tersebut digunakan untuk membayar semula pinjaman bank dan sebagai modal kerja.

 

Lupus L&T-Sapura Shipping Pvt Ltd

Vantris Energy baru-baru ini menjual keseluruhan pegangan 40% dalam L&T-Sapura Shipping Pvt Ltd pada harga AS$30.5 juta (RM118.59 juta) sebagai sebahagian usaha memperkemas portfolio dan memberi tumpuan kepada aset teras selepas penstrukturan kewangannya.

 

Hasil pelupusan itu akan digunakan bagi menyokong perniagaan kejuruteraan dan pembinaan serta operasi dan penyelenggaraan kumpulan dalam tempoh 24 bulan akan datang.

 

Vantris Energy melaporkan keuntungan bersih suku ketiga sebanyak RM4.27 bilion berbanding kerugian bersih RM293.06 juta setahun lalu, didorong terutamanya oleh keuntungan sekali sahaja berjumlah RM4.47 bilion susulan penghapusan hutang di bawah pelan penstrukturan kewangan.

 

Penstrukturan yang selesai pada 26 September itu mengurangkan jumlah pinjaman kepada RM5.7 bilion daripada RM10.76 bilion sebelum ini.

 

Bagaimanapun, kumpulan tersebut mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM97.07 juta bagi suku berakhir 31 Oktober 2025 apabila perbelanjaan meningkat hampir 15% kepada RM1.08 bilion. - DagangNews.com