Kerajaan bakal perkenal perlindungan Skim Kecederaan Luar Waktu Bekerja – PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan bakal perkenal perlindungan Skim Kecederaan Luar Waktu Bekerja – PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Luar Waktu Bekerja bagi melindungi golongan pekerja yang terlibat dalam sistem kerja fleksibel dan jarak jauh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, skim baharu ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh kerangka perundangan semasa agar lebih sejajar dengan realiti corak kerja masa kini.

 

“Kerajaan akan melancarkan Skim Kecederaan Luar Waktu Bekerja bagi memastikan pekerja dilindungi bukan hanya semasa waktu pejabat, tetapi juga di luar waktu itu. 

 

"Dalam era kerja fleksibel dan jarak jauh, perlindungan pekerja mesti mengikut cara sebenar rakyat bekerja dan hidup hari ini,” katanya.

 

anwar socso
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan World Social Security Forum 2025 di Kuala Lumpur.

 

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 peserta dari 133 negara dalam World Social Security Forum 2025, acara perlindungan sosial terbesar di dunia yang berlangsung di ibu negara hari ini.

 

Menurut beliau, skim tersebut akan memberikan perlindungan sepanjang masa kepada para pekerja, memandangkan insiden kemalangan dan kecederaan tidak tertakluk kepada jadual waktu biasa.

 

Selain pengenalan skim baharu, Perdana Menteri turut menegaskan pentingnya pendigitalan dalam sistem perlindungan sosial bagi memastikan bantuan disampaikan dengan lebih cekap dan menyeluruh.

 

“Sistem kita belum sempurna, namun kami sedang giat menambah baik. Keutamaan adalah untuk memastikan setiap rakyat mendapat perlindungan yang saksama dan bermaruah,” ujar beliau.

 

Anwar turut menekankan bahawa kemakmuran sebenar tidak diukur berdasarkan pencakar langit atau angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya melalui kualiti hidup rakyat biasa.

 

“Kemakmuran sebenar diukur dengan martabat hidup rakyat. Bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian – itulah penanda aras kita,” katanya.

 

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menggesa masyarakat antarabangsa agar berganding bahu merangka dasar yang lebih adil dan saksama demi kesejahteraan bersama.

 

“Dunia yang dipisahkan oleh ketidaksamaan tidak akan dapat bertahan. Tiada negara, rantau atau masyarakat global boleh terus hidup dalam sistem menindas yang tidak mengiktiraf martabat para pekerja,” tegas Anwar. - DagangNews.com