Dalam pemahaman umum, pemimpin yang bekerja tanpa henti, mengorbankan masa, tenaga dan kesihatan diri sering dilihat sebagai pemimpin yang paling komited dan tidak mementingkan diri.
Sebaliknya, pemimpin yang mengambil masa untuk menjaga diri pula mudah dilabel sebagai kurang berkorban dan hanya mementingkan diri sendiri.
Hakikatnya, pemahaman ini bukan sahaja silap, malah berbahaya. Dalam banyak keadaan, pemimpin benar-benar ikhlas mengorbankan hampir segala-galanya demi memastikan organisasi yang dipimpinnya berjaya.
Namun, daripada pemerhatian saya terhadap rakan-rakan yang berada dalam posisi kepimpinan, termasuk pengalaman peribadi saya sendiri, saya mendapati tanpa disedari, ramai pemimpin sebenarnya sedang meletakkan organisasi pada risiko besar apabila mengabaikan kesihatan diri.
Mereka terlalu sibuk mengejar sasaran, menghadiri mesyuarat tanpa henti dan menyelesaikan krisis demi krisis sehingga tiada langsung ruang untuk diri sendiri.
Kesihatan yang saya maksudkan di sini bukan sekadar kesihatan fizikal, tetapi meliputi kesihatan mental dan kerohanian. Jadual yang terlalu padat menyebabkan minda tidak pernah benar-benar berehat, emosi sentiasa tertekan dan jiwa semakin kosong.
Saya pesakit diabetes kronik.

Saya sendiri pernah berada dalam fasa ini. Saya mengalami masalah kesihatan kerana menyangka bahawa dengan bekerja tanpa henti, saya telah menyumbang secara signifikan kepada Wasiyyah.
Pada ketika itu, saya benar-benar percaya bahawa pengorbanan masa, tenaga dan kesihatan diri adalah harga yang perlu dibayar oleh seorang pemimpin.
Namun, akhirnya saya sedar bahawa anggapan tersebut merupakan satu kesilapan besar. Apabila kesihatan terjejas, tumpuan saya turut terjejas. Saya sentiasa penat, mudah letih dan tenaga yang ada terlalu terhad.
Saya hadir secara fizikal, tetapi tidak sepenuhnya hadir dari segi mental dan emosi. Keupayaan berfikir menjadi perlahan, daya fokus menurun dan keputusan mula dibuat dalam keadaan letih.
Ketika itulah saya memahami satu hakikat penting bahawa hanya pemimpin yang sihat dari segi fizikal, mental dan spiritual sahaja yang mampu menyumbang secara signifikan kepada organisasi.
Pada tahun 2022, berat badan saya mencecah 156 kilogram. Bacaan gula dalam darah saya apabila bangun pagi ialah 26 mmol/L. Saya seorang pesakit diabetes yang bergantung kepada suntikan insulin.

Saya juga mengalami apnea tidur dan kerap terjaga di tengah malam akibat gangguan pernafasan. Tidur tidak pernah lena, bangun pagi dalam keadaan lesu, minda berkabus dan emosi mudah terganggu.
Ironinya, pada waktu itu saya sedang memimpin sebuah organisasi. Namun hakikatnya, saya gagal memimpin diri sendiri. Saya mula sedar bahawa seorang pemimpin yang tidak sihat sebenarnya sedang membawa organisasinya ke arah risiko jangka panjang.
Pemimpin yang tidak sihat akan cepat keletihan. Pemimpin yang letih secara mental akan cenderung membuat keputusan secara reaktif, bukan strategik. Pemimpin yang kosong secara spiritual pula mudah kehilangan makna, arah dan hikmah dalam kepimpinan.
Permulaan Perjalanan Transformasi Diri
Kesedaran inilah yang menjadi titik mula kepada satu perjalanan transformasi diri yang besar. Jumlah pelanggan Wasiyyah semakin ramai dan tanggungjawab saya semakin berat.
Saya membuat keputusan yang mungkin dianggap luar biasa oleh sesetengah pihak, iaitu menjadikan kesihatan diri sebagai asas kepada kepimpinan.
Saya mendisiplinkan waktu tidur; selewat-lewatnya jam 10.30 malam dan bangun pada jam 5.00 pagi setiap hari. Saya mengawal pemakanan dengan lebih serius dengan mengurangkan pengambilan makanan bergula, berlemak dan berkarbohidrat berlebihan.
Saya bersenam setiap hari, walaupun pada peringkat awal hanya mampu berjalan perlahan. Saya tidak pernah ketinggalan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dengan doktor dan mengetahui secara tepat statistik kesihatan diri.
Dalam masa yang sama, saya membina semula kesihatan kerohanian dengan lebih tersusun. Saya memperbaiki kualiti solat, melakukan muhasabah diri dan kembali meletakkan Allah sebagai titik fokus kepada semua urusan kehidupan, termasuk kepimpinan. Kesihatan kerohanian memberikan ketenangan untuk membuat keputusan yang bijak dan adil.
Perjalanan yang Panjang
Perubahan ini tidak berlaku dalam masa singkat. Ia mengambil masa hampir tiga tahun, dari 2022 hingga hari ini. Berat badan saya turun daripada 156 kilogram kepada sekitar 90 kilogram.

Saya tidak lagi bergantung kepada insulin dan kini bebas daripada ubatan diabetes. Tahap tenaga meningkat dengan ketara, fokus menjadi lebih tajam dan emosi jauh lebih stabil.
Saya tidak lagi memimpin dalam keadaan bertahan (survival mode), sebaliknya memimpin dengan kesedaran, ketenangan jiwa dan kejelasan fikiran. Saya dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan pasukan, mendengar dengan lebih teliti serta membuat keputusan yang lebih tepat.
Menariknya, dalam tempoh transformasi diri ini, Wasiyyah turut mencatatkan pertumbuhan purata sekitar 30 peratus setahun. Sudah tentu pencapaian ini merupakan hasil usaha kolektif seluruh pasukan. Namun, saya yakin keadaan kesihatan pemimpin memberi kesan besar terhadap budaya kerja, kualiti keputusan dan hala tuju organisasi.
Pemimpin yang sihat mampu berfikir dengan lebih jernih, mendengar dengan lebih empati dan bertindak dengan lebih bijaksana. Kesihatan mental menyokong ketepatan keputusan, kesihatan fizikal memastikan ketahanan, manakala kesihatan spiritual memberikan makna dan arah. Semua elemen ini saling berkait; kelemahan satu aspek akan menjejaskan keseluruhan kepimpinan.
Pembentukan Budaya Kesihatan Diri sebagai Asas Kepimpinan
Saya juga menyedari bahawa perjalanan transformasi diri ini bukan sekadar soal disiplin fizikal atau diet semata-mata. Ia merupakan perjalanan pembentukan budaya kepimpinan diri.
Saya belajar menyeimbangkan tuntutan kerja dengan masa rehat, menilai keutamaan dan memberi perhatian kepada tanda-tanda awal keletihan. Saya tidak bersaing dengan sesiapa. Saya hanya mahu menjadi Ariffin yang lebih baik hari ini berbanding semalam.
Di sinilah saya ingin menegaskan satu perkara penting, iaitu menjaga kesihatan diri bukanlah sikap mementingkan diri, sebaliknya merupakan amanah kepimpinan.
Pemimpin yang bijaksana memahami bahawa dirinya ialah aset paling penting dalam organisasi. Tanpa kesihatan, segala perancangan dan strategi boleh gagal. Tanpa tenaga, keputusan boleh terjejas. Tanpa ketenangan mental dan spiritual, budaya organisasi boleh tergugat.
Kepimpinan yang berkesan bermula dengan kepimpinan diri sendiri. Dan kepimpinan diri bermula dengan keberanian untuk berkata, “Aku perlu sihat, bukan hanya untuk diriku, tetapi untuk mereka yang aku pimpin dan amanah yang aku pegang.”

Muhasabah Diri
Artikel ke-249 Anekdot Mawarith ini saya tuliskan sebagai satu muhasabah, khususnya buat rakan-rakan pemimpin di luar sana.
Jawatan boleh bertukar, organisasi boleh berubah, tetapi kesihatan dan amanah terhadap diri sendiri merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa.
Pemimpin yang benar-benar bijaksana bukan sekadar membina organisasi yang berjaya, tetapi memastikan dirinya cukup sihat untuk memikul amanah tersebut dengan istiqamah, kesabaran dan penuh hikmah.
Semoga kisah peribadi saya ini menjadi peringatan bahawa kepimpinan diri ialah asas kepada kepimpinan yang sejati. Tanpa kepimpinan diri yang sihat, segala amanah dan tanggungjawab kepada orang lain hanya akan menjadi beban, bukan berkat. - DagangNews.com








