KUALA LUMPUR 11 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelancaran kenderaan elektrik (EV) keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang dijadualkan hujung bulan ini akan dijadikan sebagai agenda nasional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, EV keluaran Perodua itu mencerminkan prinsip dan falsafah konsep Madani kerana ia bersifat lestari, mesra alam, mampu milik serta dilengkapi dengan teknologi canggih.
“Saya menyebut konsep Madani kerana kenderaan ini juga mampu milik. Pengeluarannya mesti menepati keperluan nasional, membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa akan datang menyokong eksport.
“Apabila kita menggunakan EV buatan tempatan, saya amat kagum dengan keupayaan bakat tempatan, terutamanya dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran kenderaan ke-5.5 juta Perodua serta lawatan dan sesi ramah mesra bersama warga kerja syarikat itu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Perdana Menteri berkata pelancaran kereta tersebut juga mencerminkan kekuatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kepakaran tenaga kerja tempatan.
“Pelancaran EV ini membuktikan syarikat automotif berkenaan bukan sahaja mempunyai kepakaran pasukan penyelidikan dan pembangunan yang bagus, malah amat berdisiplin dalam aspek pengurusan serta tatakelola yang baik.
“Justeru, Kerajaan MADANI dan rakyat Malaysia akan memberi sokongan penuh terhadap Perodua,” kata Anwar.
Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad menerusi ucapannya berkata sepanjang tempoh 32 tahun operasinya Perodua telah menghasilkan 5.5 juta kenderaan.
“Kita juga telah melabur sejumlah RM13.4 bilion sejak tahun 1993, dan pada masa yang sama, Perodua juga sedang bersiap sedia bagi menghadapi dan mengatasi cabaran pada masa hadapan serta melabur dalam model EV,” katanya.
Pada Mei tahun ini Perodua dilaporkan berkata pada peringkat awal, 30 peratus pemasangan EV pertama itu akan dilakukan di kilang baharunya di Rawang dan berharga di bawah RM80,000.
Menurut syarikat itu, dengan jangkaan pengeluaran bulanan sebanyak 500 unit, EV tersebut disasarkan kepada pembeli muda dan keluarga kecil bagi membolehkan mereka memiliki kenderaan elektrik yang mampu milik. - DagangNews.com








