Kempen Internet Selamat MCMC diperluas ke Sipitang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kempen Internet Selamat MCMC diperluas ke Sipitang

Kempen Internet Selamat (KIS) diadakan di Sekolah Kebangsaan Sindumin, Sipitang. - Gambar RTM Sabah
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Okt – Usaha memperkasa kesedaran keselamatan dalam talian terus diperkukuh apabila Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) di daerah Sipitang.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hadir ke program berkenaan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sindumin, Sipitang, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

 

Program ini melibatkan penyertaan 90 orang murid tahap dua terdiri daripada pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6.


 

bas

 

bas

 


Setakat ini, KIS telah dilaksanakan di 22 daripada 29 sekolah di daerah Sipitang, manakala baki tujuh sekolah lagi dijadualkan untuk menyertai program tersebut dalam masa terdekat.

 

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh literasi digital serta membentuk budaya penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Sejak pelancarannya pada Januari 2025, program KIS telah menjangkau 4,734 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), termasuk 52 institusi pengajian tinggi awam, kolej serta Institut Pendidikan Guru (IPG).

 

Di Sabah sahaja, sebanyak 434 institusi pendidikan telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.

 

Bagi memastikan capaian lebih menyeluruh, MCMC turut memperkukuh kerjasama strategik merentas kementerian, agensi kerajaan serta pihak industri.

 

Usaha ini memberi tumpuan kepada 1,298 sekolah di seluruh Sabah, dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang keselamatan siber, selain mendorong penglibatan aktif pihak sekolah dan komuniti dalam merealisasikan aspirasi “Internet Kita, Internet Selamat.”

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin; Pegawai Daerah Sipitang, Abd. Karim A.M Zahari; serta Guru Besar SK Sindumin, Abdul Rasid Penghulu. - DagangNews.com