Kementerian Kewangan perlu jelaskan perjanjian tanah Bandar Malaysia dan bayaran pampasan RM46.6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kementerian Kewangan perlu jelaskan perjanjian tanah Bandar Malaysia dan bayaran pampasan RM46.6 juta

Tapak Bandar Malaysia masih belum dibangunkan setakat May 2026. - Gambar The Edge Malaysia
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kementerian Kewangan mesti menjelaskan mengapa sebidang tanah utama seluas 75 ekar di Bandar Malaysia telah “dikunci” sehingga 30 tahun dengan pulangan kurang daripada 1% setahun, sebelum perjanjian itu dibatalkan dan kerajaan membayar pampasan RM46.6 juta.

 

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tanah tersebut yang merupakan sebahagian daripada pembangunan 486 ekar Bandar Malaysia dengan nilai sekitar RM12 bilion, adalah aset komersial strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur.

 

Ia terletak berhampiran dua stesen MRT dan hanya satu atau dua hentian dari Bukit Bintang serta Tun Razak Exchange (TRX).

 

“Ini bukan tanah di pinggir hutan. Berdasarkan anggaran mudah, 75 ekar ini sahaja boleh bernilai sekitar RM1.8 bilion,” katanya menerusi TikTok, hari ini.

 

Namun begitu, kata beliau, pada 1 Nov 2023, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menandatangani perjanjian untuk memajak tanah tersebut kepada syarikat Singapura, Sim Leisure Group, bagi tempoh 15 tahun dengan opsyen lanjutan 15 tahun lagi.


 

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong - Gambar The Star

 

Pulangan dan struktur pajakan dipersoalkan

Dr Wee mempersoalkan mengapa tanah bernilai hampir RM2 bilion itu “dikunci” selama sehingga 30 tahun sedangkan pulangan tahunan kepada kerajaan diunjurkan tidak mencecah 0.8% daripada nilai tanah.

 

Di bawah perjanjian itu, kadar sewaan ditetapkan pada minimum RM3 juta setahun termasuk cukai taksiran dan cukai tanah, atau 5% daripada hasil kasar projek, yang mana lebih tinggi.

 

“RM3 juta setahun untuk 75 ekar bersamaan kira-kira 7.65 sen setiap kaki persegi sebulan. Ini kadar yang amat rendah untuk tanah komersial strategik di Kuala Lumpur,” katanya.

 

Beliau turut mempersoalkan tempoh 18 bulan pertama yang diberikan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewa walaupun tanah tersebut telah pun diperuntukkan untuk projek berkenaan.

 

Mengulas unjuran kewangan projek, Dr Wee berkata Sim Leisure Group menjangkakan pendapatan tahun pertama operasi sebanyak RM68.8 juta, sekali gus menjadikan bahagian 5% untuk Bandar Malaysia sekitar RM3.4 juta.

 

Jumlah itu bersamaan kira-kira 0.19% pulangan terhadap nilai tanah tersebut.

 

“Menjelang tahun ke-30, hasil dijangka mencecah RM283 juta, namun 5% yang diterima Bandar Malaysia hanyalah sekitar RM14 juta, masih sekitar 0.76% daripada nilai tanah – tidak sampai 0.8% setahun,” katanya.

 

Beliau menambah, kadar 5% hasil kasar itu juga lebih rendah berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8%.

 

Batal Perjanjian

Dr Wee berkata tidak mengejutkan apabila kerajaan akhirnya membatalkan perjanjian tersebut, namun pembatalan itu membawa kepada bayaran pampasan RM46.6 juta hanya kira-kira setahun selepas ia ditandatangani.

 

“Persoalannya jelas. Siapa yang merunding perjanjian ini? Siapa yang meluluskan terma sebegini? Mengapa tanah bernilai hampir RM2 bilion ini dipersetujui dengan pulangan yang begitu kecil?

 

“Dan mengapa rakyat Malaysia perlu menanggung pampasan RM46.6 juta akibat keputusan kerajaan sendiri?” katanya.

 

Beliau menegaskan, isu ini bukan perkara kecil atau operasi biasa, sebaliknya melibatkan keputusan penting di peringkat Kementerian Kewangan yang perlu disiasat secara menyeluruh. - DagangNews.com