KUALA LUMPUR 9 Okt – Kemalangan membabitkan kenderaan elektrik (EV) boleh menjadi jauh lebih kompleks dan mahal untuk ditangani berbanding kenderaan konvensional, malah dalam sesetengah kes, kerosakan yang dialami terlalu teruk sehingga tidak boleh dibaiki langsung.
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam), situasi ini mencerminkan cabaran baharu yang dihadapi oleh industri insurans sejajar dengan pertumbuhan pesat penggunaan EV di Malaysia — daripada kos pembaikan yang lebih tinggi sehinggalah keperluan terhadap piawaian keselamatan dan teknikal yang baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Piam, Chua Kim Soon berkata, walaupun pertumbuhan EV adalah positif dari segi kelestarian alam sekitar, ia juga menonjolkan keperluan mendesak untuk pengendali insurans menyesuaikan diri dengan risiko dan realiti operasi baharu.
“Jualan EV dan hibrid meningkat pesat kerana pengecualian duti yang akan berakhir pada 2025. Dalam tempoh itu jualan meningkat 90 peratus dan kini menyumbang lebih tiga peratus daripada keseluruhan jualan kereta baharu,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi industri insurans am bagi separuh pertama tahun ini.
Menurut Kim Soon, EV berbeza secara asas daripada kenderaan biasa, termasuk dari aspek pembaikan dan kadar susut nilai, sekali gus mencipta profil risiko baharu yang perlu diambil kira oleh syarikat insurans.
Katanya, Piam telah menjalankan kajian terhadap pasaran EV yang lebih matang seperti China untuk memahami prestasi jangka panjang kenderaan ini.
"Hasil kajian menunjukkan apabila EV semakin berusia, tabiat pemanduan berubah, susut nilai meningkat, dan pembaikan menjadi lebih rumit serta mahal.
“Kalau berlaku kemalangan di bahagian yang salah pada kenderaan EV, kadangkala ia tidak boleh dibaiki langsung,” jelas beliau.
Beliau menambah, Malaysia ketika ini masih berada dalam fasa liberalisasi berperingkat bagi insurans motor, di mana harga premium masih dikawal secara separa.
Ini katanya, telah membantu pemilik EV daripada dikenakan premium yang tinggi buat masa ini.
Namun, Kim Soon memberi amaran di pasaran yang lebih matang dan liberal, kos insurans EV adalah jauh lebih tinggi berikutan risiko dan kos pembaikan yang lebih besar.
“Perkara ini belum berlaku di Malaysia, dan kami sedang berusaha menguruskannya agar tidak perlu menaikkan premium, tetapi jika lihat kepada pasaran lain, itulah realitinya,” katanya. - DagangNews.com








