Kelewatan penyelesaian hala tuju rangkaian 5G mampu jejas potensi keuntungan Maxis - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelewatan penyelesaian hala tuju rangkaian 5G mampu jejas potensi keuntungan Maxis - Penganalisis

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kelewatan dalam membuat keputusan berhubung hala tuju rangkaian 5G boleh menimbulkan kebimbangan pasaran terhadap potensi pertumbuhan keuntungan Maxis, menurut CGS International (CGSI). 

 

Firma pelaburan itu berkata, sekiranya keputusan mengenai rangkaian 5G tertangguh lebih lama, risiko penurunan pendapatan dan persaingan harga dalam produk bundel boleh meningkat. 

 

Sebaliknya, ujar firma itu, penyelesaian yang positif mungkin membuka ruang penjimatan kos dan lonjakan keuntungan jangka sederhana hingga panjang.

 

"Semasa persidangan selepas pengumuman keputusan, pengurusan (Maxis) tidak dapat memberikan jawapan konkrit mengenai langkah seterusnya untuk 5G," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Keputusan 3Q25 Maxis Bhd yang diumumkan pada 7 Nov 2025 menunjukkan prestasi kewangan selari dengan jangkaan, dengan keuntungan bersih suku ketiga sebanyak RM412 juta (+12.6% yoy) dan keuntungan bersih 9M25 mencecah RM1,181 juta (+9.9% yoy). 

 

Keputusan ini mewakili 77% daripada ramalan penuh tahun penganalisis dan 80% daripada konsensus Bloomberg. Dividen interim ketiga sebanyak 4 sen sesaham diumumkan, selari dengan jangkaan pasaran.

 

Bagaimanapun, isu yang paling mencuri tumpuan pelabur ialah hala tuju rangkaian 5G Maxis yang masih belum jelas. 

 

Kerajaan Malaysia mempunyai masa sehingga 12 Disember 2025 untuk melaksanakan opsyen jual pegangan 41.67% dalam Digital Nasional Berhad (DNB), pengendali rangkaian 5G pertama di Malaysia. 

 

Selepas tempoh tersebut, Maxis dan tiga pemegang saham lain hanya mempunyai satu bulan untuk melaksanakan opsyen beli bagi memperoleh pegangan Kementerian Kewangan (MOF).

 

"Situasi ini meletakkan Maxis di persimpangan: sama ada terus kekal sebagai pemegang saham DNB dan membangunkan rangkaian 5G bersama, atau meneruskan laluan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) seperti yang pernah dibincangkan dalam laporan CGSI terdahulu. 

 

"Sehingga isu ini selesai, CGSI menasihatkan pendekatan berhati-hati terhadap perbelanjaan modal dan pelaburan strategik,' katanya,

 

Sementara itu susulan kenaikan harga saham sebanyak 14.8% sejak keputusan 2Q25 diumumkan, Maxis kini diturunkan penarafan daripada Tambah kepada Pegang dengan harga sasaran RM4.00. 

 

Saham kini dinilai secara adil pada 19.9x FY26F P/E, dengan hasil dividen FY25F 4.7% memberikan sokongan terhadap penurunan harga.

 

Sementara itu MBSB Research, turut senada dengan menyuarakan kebimbangan terhadap potensi tanggungjawab kewangan yang lebih tinggi terhadap DNB sekiranya MOF melaksanakan opsyen jual menjelang akhir tahun.

 

Sehubungan itu firma itu menurunkan saranan saham Maxis kepada NEUTRAL daripada BELI sebelum ini dengan harga sasaran DCF yang lebih rendah iaitu RM3.90 (sebelumnya RM4.19). Penurunan ini selaras dengan pengumuman keputusan kewangan kumpulan bagi 3QFY25. - DagangNews.com