KUALA LUMPUR 15 Jan – Lima kawasan telah diwartakan sebagai lokasi mendulang emas dalam fasa pertama pelaksanaannya di Kelantan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Lima kawasan tersebut ialah Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentiang di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang serta Sungai Bertam di Tanah Merah.
Beliau berkata aktiviti mendulang hanya dibenarkan dalam radius dua kilometer dari tapak yang telah ditanda di setiap lokasi bermula 14 Januari 2026.
“Penandaan ini bertujuan memudahkan pendulang mengenal pasti kawasan dibenarkan serta memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Lokasi yang dipilih mempunyai potensi emas berdasarkan maklumat orang awam dan sejarah aktiviti mendulang sebelum ini.
“Hanya pendulang yang mempunyai lesen sah dibenarkan menjalankan aktiviti, sementara mendulang tanpa lesen dianggap sebagai satu kesalahan,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 332 permohonan lesen diterima, dengan 178 pemohon telah membuat bayaran pemprosesan manakala selebihnya masih disaring oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Lesen fasa pertama dijangka dikeluarkan pada 21 Januari 2026 dan pemegang lesen boleh mendulang di semua kawasan yang telah diwarta.
Timbalan Menteri Besar turut menekankan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan pendulang.
“Kerajaan negeri juga akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua syarat dipatuhi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, dua syarikat pembeli emas telah berdaftar dengan Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan iaitu TCS Aurics Sdn Bhd dan Jadekey Sdn Bhd.
Hasil pembelian emas dicadangkan dijual kepada anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Gold Trade (KGT).
Tambahnya, jika fasa pertama berjalan lancar, kerajaan negeri akan mengkaji untuk menambah lagi kawasan mendulang pada masa hadapan dan menangani sebarang isu yang timbul. - DagangNews.com








