KUALA LUMPUR 14 Jan – Kelantan bersedia melangkah ke era baharu pengurusan ternakan dengan cadangan melaksanakan sistem ternakan bersepadu menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).
Langkah inovatif ini akan mengubah cara penternak memantau, mengurus, dan mengawal ternakan di negeri Kelantan secara lebih telus dan efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata sistem bersepadu ini bakal melibatkan kerjasama rapat antara beberapa agensi utama negeri dan Persekutuan.
“Antaranya termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK).
“Sistem RFID ini bukan sekadar alat teknologi, tetapi satu strategi menyeluruh untuk memperkukuh biosekuriti, mempercepat pengesanan penyakit, serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui sistem tersebut, setiap pergerakan ternakan akan dipantau secara telus, membolehkan pihak berkuasa bertindak cepat sekiranya berlaku ancaman penyakit dan penternak mendapat rekod yang lengkap dan tepat.
Cadangan itu diumumkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaksanaan sistem RFID bersama UPEN, KPKB, MAQIS dan JPVNK bagi menyelaraskan pelaksanaan bersepadu untuk memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing.
Beliau berkata perbincangan memfokuskan kepada aspek teknikal seperti penandaan ternakan melalui ear tag dan bolus RFID, penggunaan peranti pembaca data, serta integrasi maklumat ke pangkalan data berpusat.
Standard pengesanan (traceability) turut menjadi perhatian utama, memastikan setiap ternakan boleh dijejaki dengan tepat sepanjang rantaian pengeluaran dari ladang hingga pasaran.
Sistem ini juga akan memudahkan pemantauan kesihatan ternakan, pergerakan haiwan, dan rekod lengkap bagi setiap penternak, meningkatkan keberkesanan pengurusan veterinar negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pertanian turut mengadakan mesyuarat bersama JPVNK untuk menyelaraskan hala tuju perancangan sektor ternakan sepanjang tahun 2026, termasuk pengurusan kesihatan, kawalan penyakit dan pemerkasaan rantaian industri ternakan.
Mesyuarat itu turut menekankan penyelarasan antara agensi, pemantapan pelaksanaan di lapangan, serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran semasa yang memberi kesan kepada keselamatan makanan dan industri agroternakan negeri.
Beliau berkata pendekatan lebih tersusun ini diharap dapat memastikan setiap inisiatif berjalan lancar, memberi impak langsung kepada penternak, dan memperkukuh sektor veterinar sepanjang 2026. - DagangNews.com








