KUALA LUMPUR 16 Jan — Kekurangan pengamal perubatan bertauliah, terutama doktor mata dan pengguna berbelanja kurang dikenal pasti antara isu yang berisiko menekan prestasi Optimax Holdings Berhad.
Menurut Phillip Capital, kumpulan tersebut juga berdepan persaingan sengit dalam segmen penjagaan mata walaupun prospek pertumbuhan pendapatan kumpulan itu adalah terus kekal positif sepanjang 2026.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah 79 sen, berdasarkan potensi gandaan 25 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran 2026.
"Kami namun menjangkakan pertumbuhan pendapatan Optimax terus kukuh disokong perluasan rangkaian pusat rawatan dan pemulihan segmen pelancongan perubatan tahun ini," katanya dalam nota hari ini.
Selain itu tambah Phillip Capital, projek pembinaan Hospital Pakar Selgate dan Hospital Pakar Mata Kempas juga berjalan mengikut jadual, dengan sasaran siap pada suku kedua hingga suku ketiga 2026.
Pada masa yang sama jelas firma berkenaan, langkah pengembangan operasi antarabangsa ke Jakarta, Indonesia turut dinilai berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang suku ketiga tahun ini.
Ia menjangkakan pendapatan suku ke suku (QoQ) Optimax meningkat pada 4QFY25, dipacu permintaan ke atas rawatan dan pembedahan mata bermasalah yang lazimnya kukuh pada musim bonus hujung tahun
"Ketersediaan pesakit yang lebih tinggi, serta operasi Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC) baharu di Kota Kinabalu, Kuching dan Kemboja juga mula menyumbang kepada pendapatan," kata Phillip Capital.
Firma itu turut menyifatkan kadar penggunaan keseluruhan kumpulan kini berada pada 60%, dengan sasaran meningkat kepada 75% menjelang akhir 2026, disokong oleh inisiatif pemasaran digital.
Di samping itu, kebanyakan ACC Optimax dijangka mencapai titik pulang modal sebelum cukai dalam tempoh setahun, kecuali di Ipoh yang mengalami pertumbuhan lebih perlahan akibat ketepuan pasaran.
Bagi segmen pelancongan perubatan, Phillip Capital menjangka momentum positif berterusan susulan pemulihan berperingkat pesakit asing selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
"Inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Malaysia Year of Medical Tourism, serta penyertaan aktif Optimax dalam Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) juga positif," katanya.
Perkara berkenaan jelas firma itu, dijangka meningkatkan jumlah pesakit luar negara, dan segmen ini kini menyumbang kira-kira 10% hasil kumpulan, dengan sasaran lebih 20% menjelang akhir 2026
Secara keseluruhan, Phillip Capital mengunjurkan pendapatan Optimax meningkat antara 8% hingga 11% bagi tempoh 2025 hingga 2027, dengan pertumbuhan keuntungan teras dijangka naik 27% pada 2026.
Keyakinan itu dipacu peningkatan kecekapan operasi dan pusat rawatan baharu, namun memberi amaran mengenai kekurangan doktor dan sentimen pengguna yang lemah kekal berisiko. - DagangNews.com








