Kee Ming sasar kumpul RM31.5 juta menerusi tawaran IPO 38 sen di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kee Ming sasar kumpul RM31.5 juta menerusi tawaran IPO 38 sen di Pasaran ACE

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – Kee Ming Group Bhd, firma kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, menyasarkan untuk mengumpul RM31.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 38 sen sesaham.

 

Menurut prospektus yang difailkan kepada Bursa Malaysia, permohonan bagi IPO tersebut akan ditutup pada 27 Januari, manakala penyenaraian dijadualkan pada 12 Februari, dengan nilai permodalan syarikat iaitu RM123.5 juta selepas penyenaraian.

 

Disokong oleh Solarvest Holdings Bhd, Kee Ming menyediakan perkhidmatan kejuruteraan merangkumi kerja-kerja elektrik dan pemasangan, sistem penyaman udara dan pengudaraan serta sistem perlindungan kebakaran. 

 

Kumpulan itu turut terlibat dalam kerja-kerja kejuruteraan infrastruktur tenaga termasuk pemasangan panel solar dan stesen pengecasan kenderaan elektrik.

 

Daripada jumlah sasaran kutipan, Kee Ming akan memperoleh RM25.3 juta hasil daripada terbitan saham baharu. 

 

Berdasarkan prospektus, sebanyak 51.3% atau RM13 juta daripada hasil IPO diperuntukkan bagi menyokong projek-projek masa hadapan, manakala 15.8% atau RM4 juta akan digunakan untuk penyediaan bon prestasi.

 

Selain itu, syarikat merancang untuk mengembangkan pasukan projek dengan mengambil 20 kakitangan tambahan, melabur dalam sistem perancangan sumber perusahaan (ERP), serta menampung keperluan modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

IPO berkenaan melibatkan terbitan awam 66.63 juta saham baharu dan tawaran jualan 16.25 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah tersebut, 16.25 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 8.13 juta saham disediakan kepada orang yang layak. 

 

Selain itu, 40.6 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian, sementara 17.9 juta saham lagi ditawarkan kepada pelabur terpilih juga menerusi penempatan persendirian.

 

Hasil daripada tawaran jualan akan diterima oleh Pengarah Urusan, Liew Kar Hoe selaku satu-satunya pemegang saham penjual, dengan pegangan beliau akan berkurangan kepada 50.65% selepas penyenaraian daripada 70% ketika ini. 

 

Sementara itu, Solarvest yang memiliki 30% kepentingan dalam Kee Ming akan menyaksikan pegangan sahamnya menyusut kepada 23.9% selepas IPO.

 

TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut manakala Eco Asia Capital Advisory dilantik sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com