KUALA LUMPUR 9 Jun — Kee Ming Group Berhad memperoleh subkontrak yang bernilai RM21.36 juta bagi melaksanakan perkhidmatan kejuruteraan elektrik untuk sebuah projek pusat data (DC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kerja tersebut di Puncak Alam, Selangor, dan dijangka mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur digital yang berkembang pesat.
Tender diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Kee Ming Electrical Sdn Bhd (KME), menerusi surat penganugerahan (LOA) daripada sebuah kontraktor pihak ketiga yang tidak didedahkan nama.
"Ia ada kepakaran dalam pelbagai rumusan mekanikal dan elektrikal (M&E), termasuk kerja prasarana DC, dan di bawah skop projek tersebut, KME melaksanakan kerja tertentu," jelas Kee Ming lagi.
Antaranya kata kumpulan itu pembekalan, penghantaran dan pemasangan utiliti luaran melibatkan sistem voltan tinggi (HV), voltan sederhana (MV), voltan rendah (LV), voltan ekstra rendah (ELV).
Di samping itu tambahnya, ia melibatkan kerja berkaitan saluran telekomunikasi, dengan syarikat itu turut bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja elektrik bagi bangunan utama DC berkenaan.
Kerja-kerja bermula serta-merta bagi pakej utiliti luaran, manakala pakej bangunan utama tertakluk kepada notis kontraktor, manakala keseluruhan projek dijangka siap menjelang 30 Disember 2026.
"Lembaga Pengarah Kee Ming menilai penerimaan kontrak itu dijangka menyumbang positif kepada hasil, keuntungan sesaham dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027," katanya.
Menurut syarikat tersebut, kontrak berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Bagaimanapun ujarnya, seperti projek kejuruteraan yang lain, pelaksanaannya berdepan risiko operasi termasuk masalah kelewatan projek, isu gangguan rantaian bekalan dan cabaran pelaksanaan.
Kee Ming namun menyatakan keyakinan yang ia mempunyai kepakaran, pengalaman luas serta sumber mencukupi untuk menyiapkan projek tersebut mengikut jadual ditetapkan pemaju tersebut.
Lembaga Pengarah turut berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat serta selaras strategi pengembangan dalam sektor DC yang semakin rancak di Malaysia. - DagangNews.com








