Kebergantungan ke atas pelanggan tertentu berisiko jejas One Gasmaster selepas penyenaraian — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan ke atas pelanggan tertentu berisiko jejas One Gasmaster selepas penyenaraian — TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanOne Gasmaster Holdings Berhad berdepan risiko tinggi ekoran kebergantungan kritikal kepada tiga pelanggan utama dan pembekal pihak ketiga di luar negara, kata TA Securities.


Menurut firma penyelidikan berkenaan, perkara itu wajar dielakkan kumpulan perkhidmatan rumusan gas dan paip tersebut selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Januari 2026.


Kebergantungan ini berpotensi menjejaskan pendapatan syarikat sekiranya sebarang gangguan berlaku dalam kontrak dengan pelanggan Nanjing Technology, InstruEdar Teknologi dan Malaysian Sheet Glass.


"Prospek One Gasmaster juga bergantung besar kepada sejumlah pembekal pihak ketiga dari Amerika Syarikat (AS), Britain, Jerman, Jepun dan Singapura," jelas TA Securities dalam nota hari ini.


Firma itu menekankan yang syarikat ditubuhkan pada 1998 itu, turut berdepan risiko kerana segala perkhidmatannya perlu memiliki lesen dan menerima pensijilan rasmi daripada pihak kawal selia.


Ini tambahnya, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) yang menjadikan operasinya perlu selaras standard tinggi.


Bagaimanapun TA Securities masih optimis terhadap potensi One Gasmaster dan meletakkan penilaian wajar 27 sen sesaham bersandarkan unjuran 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) pada FY26.


"Kami mengakui kelebihan syarikat ini termasuk rekod pengalaman 27 tahun serta komitmen standard kualiti dengan pelanggannya merangkumi banyak sektor termasuk minyak dan gas (O&G)," tambahnya.


Kumpulan tersebut turut menjadi pilihan banyak syarikat penjanaan tenaga, pembuatan, makanan dan minuman (F&B) serta industri kimia sejak ia beroperasi hampir 30 tahun lalu di seluruh negara.


Dari segi prestasi, pendapatan FY23 meningkat 35.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM31.0 juta, diikuti FY24 naik 22.6% YoY kepada RM38.0 juta, didorong oleh banyak projek dilaksanakan.


Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan keuntungan teras FY25 susut 0.7% sebelum meningkat semula pada FY26 dan FY27 masing-masing RM6.2 juta dan RM7.2 juta, disokong rancangan pengembangannya.


"One Gasmater merancang memperluas perkhidmatan rumusan, menubuhkan makmal tambahan serta membuka cawangan baharu di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang yang ada permintaan tinggi," katanya.


Justeru, ia menasihatkan pelabur perlu memantau risiko kebergantungan pelanggan utama yang berpotensi menjejaskan pendapatan awal syarikat itu selepas penyenaraian. - DagangNews.com