KUALA LUMPUR 16 Jan – Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 5.7% pada suku keempat 2025, meningkat berbanding 5.2% pada suku sebelumnya, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan serta permintaan domestik yang kekal kukuh.
Menurut anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, pertumbuhan 5.7% itu merupakan yang tertinggi sejak suku kedua 2024 (2Q2024: 5.9%).
Bagi keseluruhan tahun 2025, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 4.9%, menghampiri pertumbuhan 5.1% yang dicatatkan pada 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan kukuh ekonomi pada suku keempat 2025 dipacu oleh sektor perkhidmatan yang terus berkembang 5.4% berbanding 5.0% pada suku sebelumnya.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta makanan dan minuman serta penginapan.
“Sektor pembuatan pula berkembang 6.0% berbanding 4.1% pada suku sebelumnya, didorong oleh prestasi produk elektrik, elektronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta produk makanan diproses.
“Sektor pembinaan kekal mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 11.9%, disokong oleh aktiviti kukuh dalam bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sektor pertanian mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.1% berbanding pertumbuhan marginal 0.4% pada suku ketiga 2025, terutamanya disebabkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), pengeluaran minyak sawit Malaysia pada Oktober 2025 merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan sederhana 1.1% berbanding 9.7% pada suku sebelumnya, sejajar dengan pengeluaran minyak mentah dan kondensat yang lebih perlahan.
Mengulas sokongan permintaan domestik, Mohd Uzir berkata perbelanjaan isi rumah terus mengukuh hasil aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, perbelanjaan berkaitan persekolahan susulan perubahan kalendar akademik 2026, serta perbelanjaan sempena perayaan Deepavali dan Krismas.
Keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan turut menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah walaupun berdepan persekitaran luaran yang tidak menentu.
Beliau turut memaklumkan bahawa peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, yang menyaksikan ratusan mesyuarat, persidangan dan acara antarabangsa berskala besar berlangsung di bandar utama negara, selain pilihan raya negeri Sabah, turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi pada suku tersebut.
Berdasarkan indikator ekonomi, Indeks Pengeluaran Perindustrian mencatatkan pertumbuhan kukuh masing-masing 6.0% pada Oktober dan 4.3% pada November 2025, mencerminkan pengukuhan aktiviti perindustrian khususnya sektor pembuatan berorientasikan eksport.
Sektor perdagangan borong dan runcit merekodkan pertumbuhan jualan yang kukuh, masing-masing 7.2% pada Oktober dan 6.4% pada November, mencerminkan daya tahan permintaan domestik meskipun berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan luaran. - DagangNews.com








