KUALA LUMPUR 22 Ogos - Tiga kakitangan akhbar Sarawak Tribune telah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan keterangan berhubung sebuah artikel yang diterbitkan pada 12 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan bahawa siasatan dijalankan susulan aduan orang ramai terhadap artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated”.
Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga individu terbabit dipanggil secara berasingan untuk memberi keterangan.
“Siasatan memberi tumpuan terhadap penyiaran bahan yang tidak diingini yang boleh menimbulkan kebimbangan awam, mengganggu ketenteraman, serta berkemungkinan melanggar syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Kami juga memandang serius penerbitan artikel tersebut yang telah menimbulkan kekeliruan, aduan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Justeru, syarikat penerbitan akhbar diingatkan supaya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan beretika dalam laporan mereka, dengan memastikan kandungan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam,” kata kementerian itu.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
“Kementerian juga tidak menolak kemungkinan untuk menarik balik permit penerbitan,” jelasnya.
KDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu tersebut, malah tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan bahan yang boleh membahayakan keselamatan serta ketenteraman awam.
“Langkah penguatkuasaan yang ketat di bawah Akta berkaitan akan dipertimbangkan sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya.
Sebelum ini, Angkatan Muda Amanah (Amanah Youth) telah menggesa KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap penerbitan tersebut, termasuk mempertimbangkan penutupan akhbar berkenaan.
Sayap berkenaan menyifatkan tajuk artikel itu sebagai fitnah dan telah menggambarkan wartawan Al Jazeera yang terkorban, Anas Al-Sharif, sebagai seorang militan. - DagangNews.com








