KUALA LUMPUR 12 Sept - Peningkatan jumlah jualan merentasi semua jenama, kawalan kos serta pembaziran di bawah jenama CU mampu melonjakkan keuntungan Mynews Holdings Bhd (Mynews), kata penganalisis.
RHB Research menyifatkan pemulihan perniagaan syarikat adalah mampan hasil usaha berterusan untuk menambah baik penawaran produk di kedai CU serta pengurusan pembaziran yang lebih efisien.
Kedai CU ujar firma itu dijangka mencatatkan keuntungan dan mula menyumbang secara bermakna kepada kumpulan dalam tahun kewangan 2026, disokong oleh kawalan pembaziran yang lebih ketat serta penawaran produk yang lebih tertumpu kepada SKU berprestasi tinggi.
Jenama Mynews pula katanya, dijangka terus menyumbang prestasi stabil, dengan pihak pengurusan memberi tumpuan kepada pengembangan jenama yang telah pun menguntungkan ini.
"Bagi rangkaian Supervalue, ia dijangka meraih manfaat daripada peningkatan trafik pelanggan dan perbelanjaan susulan pelaksanaan program penebusan Bantuan Asas Rahmah (SARA).
"Selain itu, pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 turut dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan tambahan, khususnya bagi cawangan yang terletak di kawasan tumpuan pelancong," katanya.
Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Mynews dengan harga sasaran RM0.80, mewakili potensi kenaikan sebanyak 19%, serta hasil dividen diunjur sekitar 2% bagi tahun kewangan 2026 (Oktober).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) pula telah menyemak semula unjuran pendapatan FY25E-FY27E dinaikkan sebanyak 16%-53% mengambil kira beberapa faktor seperti perbelanjaan operasi yang lebih rendah, kadar cukai efektif lebih rendah iaitu 33% setahun (berbanding 48%/35%/35% sebelum ini) dan dividen lebih tinggi iaitu 1 sen setahun (berbanding 0.5 sen sebelum ini).
"Prestasi pendapatan suku tahunan seterusnya dijangka terus meningkat secara progresif, disokong oleh promosi kedai yang lebih giat dan peningkatan sentimen pengguna hasil bantuan tunai sekali sahaja sebanyak RM100 di bawah program SARA, serta perbelanjaan bermusim yang lebih tinggi menjelang cuti hujung tahun.
"Perlu diambil perhatian, Mynews menyertai program MyKasih/SARA melalui kedai Mynews Supervalue — yang berjumlah 37 daripada keseluruhan 679 cawangan setakat akhir 3QFY25," katanya.
Dengan menolak ke hadapan penilaiannya, Maybank IB menaikkan harga sasaran kepada RM0.85, berdasarkan anggaran PER CY26E sebanyak 26 kali, yang merupakan purata, berbanding PER dinormalisasi 2016-2018 sebanyak 32 kali sebelum ini.
Penarafan ke atas saham Mynews kata firma itu juga dinaikkan kepada BELI daripada PEGANG sebelum ini.
Mynews mengendalikan rangkaian kedai serbaneka (CVS) di bawah jenama Mynews, Mynews SuperValue dan Maru Kafe.
Selain itu, syarikat ini juga merupakan pemegang francais induk bagi jenama kedai serbaneka dari Korea Selatan, CU, di Malaysia.
Secara keseluruhan, kumpulan ini kini memiliki lebih 600 cawangan di seluruh negara merangkumi semua jenama tersebut.
Sementara itu, susulan keputusan suku ketiga yang kukuh, firma penyelidikan CGS International juga telah meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras bagi FY25F/FY26F/FY27F masing-masing sebanyak 33.8%, 17.2% dan 10.9%.
Ini bagi mencerminkan margin yang lebih tinggi, perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, serta andaian cukai yang lebih rendah.
"Dengan keuntungan 3QFY25 kini kembali ke paras yang terakhir dicapai sebelum pandemik Covid-19, kami menjangkakan Mynews bakal mencatatkan pertumbuhan CAGR sebanyak 60% dalam EPS teras bagi tempoh FY24 hingga FY27F," katanya. - DagangNews.com








