Kami Builders lancar Sukuk SRI Kelestarian ASEAN RM300 juta bina kampus Quest International University di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kami Builders lancar Sukuk SRI Kelestarian ASEAN RM300 juta bina kampus Quest International University di Perak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kami Builders Sdn Bhd (KBSB), anak syarikat milik penuh Wawasan QI Properties Sdn Bhd di bawah QI Group menerbitkan Program Sukuk SRI Kelestarian ASEAN bernilai sehingga RM300 juta bagi membiayai projek pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia.

 

Dalam fasa pertama, KBSB berjaya mengumpul RM90 juta melalui Sukuk SRI Murabahah berasaskan prinsip Syariah Tawarruq dengan tempoh keseluruhan program selama 30 tahun manakala Tranche 1 akan matang dalam tempoh lima tahun.

 

Program Sukuk ini bertujuan menyalurkan pembiayaan kepada pembangunan kampus baharu Quest International University (QIU) di Gunung Lang, Ipoh, Perak di atas tapak seluas 10 ekar.

 

Kampus tersebut dibangunkan sebagai inisiatif pendidikan tinggi yang menyokong agenda nasional Malaysia dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan mampu milik khususnya di luar bandar.

 

Projek ini juga dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dan dijangka dapat menampung lebih 2,000 pelajar dari lebih 40 negara.

 

Hasil terbitan Sukuk akan digunakan untuk pembinaan infrastruktur kampus, kemudahan akademik serta pembangunan fasiliti pendidikan universiti tersebut.

 

Public Investment Bank Berhad (PIPB) bertindak sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama, Pengurus Utama dan Ejen Kemudahan bagi Program Sukuk ini manakala Amanie Advisors Sdn Bhd pula dilantik sebagai Penasihat Syariah bagi memastikan struktur Sukuk ini mematuhi sepenuhnya prinsip kewangan Islam.

 

t

 

Tranche 1 Sukuk SRI Murabahah ini telah diberikan penarafan kredit AAA(s) oleh RAM Ratings, iaitu tahap tertinggi dalam skala penarafan kredit RAM, menunjukkan risiko pelaburan yang sangat rendah dan asas kredit yang kukuh.

 

Dalam penilaian berasingan, RAM Sustainability turut menganugerahkan penarafan SILVER Sustainable Finance Rating kepada rangka kerja Sukuk SRI KBSB, selaras dengan pematuhan kepada Rangka Kerja Sukuk SRI Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta piawaian antarabangsa termasuk ASEAN Sustainability Bond Standards dan International Capital Market Association (ICMA) Sustainability Bond Guidelines.

 

Pengarah KBSB, Shekhar Balasubramaniam berkata, Sukuk ini mewakili gabungan antara pelaburan mampan dan impak sosial yang memberi manfaat kepada komuniti.

 

“Pelaburan dalam pembangunan QIU bukan sahaja memberi pulangan kewangan, tetapi juga menyumbang kepada mobiliti sosial dan pembangunan pendidikan di Perak,” katanya.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif QI Group, Datuk Sri Vijay Eswaran berkata, projek QIU merupakan komitmen jangka panjang kumpulan dalam sektor pendidikan di Malaysia dan antarabangsa.

 

“Keyakinan pelabur terhadap Sukuk ini membuktikan kekuatan asas projek serta potensi jangka panjang sektor pendidikan tinggi negara.

 

“Penerbitan ini turut memperkukuh rekod KBSB dalam pasaran modal Islam selepas pelancaran Program Sukuk Ijarah bernilai RM100 juta pada tahun 2023 melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sebagai pelabur utama, dengan pelaksanaan melalui Silver Formula ABS Berhad (SFAB) sebagai syarikat tujuan khas (SPV),” katanya. - DagangNews.com