KUALA LUMPUR 28 Okt - Kajian rangka tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menumpukan kepada pembangunan pelaburan serta data di kawasan berkenaan dijangka siap pada suku pertama tahun 2026, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 50 projek berimpak tinggi dilaksanakan di kawasan JS-SEZ dalam tempoh lima tahun pertama, diikuti 100 projek dalam masa 10 tahun akan datang.
“Kerajaan turut menyasarkan penciptaan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 tahun.
"Sehubungan itu, kerajaan sedang melaksanakan kajian rangka tindakan JS-SEZ bagi memberi tumpuan kepada pembangunan pelaburan dan data berkaitan di kawasan berkenaan,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung pendekatan dan strategi kerajaan dalam memastikan usahawan tempatan mendapat manfaat daripada peluang ekonomi serta pelaburan di bawah JS-SEZ.
Menjawab soalan asal mengenai jumlah pelaburan yang telah diluluskan kerajaan di kawasan JS-SEZ, Hanifah Hajar berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai pelaburan diluluskan bagi separuh pertama tahun 2025 berjumlah RM37.1 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24 bilion merupakan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, khususnya teknologi maklumat dan komunikasi, manakala baki RM13 bilion melibatkan sektor pembuatan seperti produk petroleum dan petrokimia.
“Tiga negara pelabur utama di kawasan JS-SEZ ialah Singapura dengan pelaburan bernilai RM28.5 bilion, diikuti Itali (RM2.9 bilion) dan China (RM700 juta),” katanya.
Hanifah turut memaklumkan bahawa sehingga 30 September 2025, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) telah memudah cara sebanyak 808 pertanyaan pelabur asing dan domestik, termasuk 11 potensi projek atau pelaburan bernilai RM1.3 bilion, hasil kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura dan EnterpriseSG. - BERNAMA








