KAF Digital Bank umum pelantikan Suzaini Mukhtar sebagai CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAF Digital Bank umum pelantikan Suzaini Mukhtar sebagai CEO

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Feb - KAF Digital Bank Bhd melantik Suzaini Mukhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Februari 2026.

 

Suzaini yang menyertai KAF Digital Bank sebagai Timbalan CEO pada penghujung 2025, menggantikan pasukan kepimpinan pengasas ketika bank berkenaan memasuki fasa seterusnya pertumbuhan komersial.

 

“Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perbankan Islam merangkumi Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu, pelantikan beliau menandakan peralihan strategik ketika bank ini mengembangkan penawaran digital-pertama yang patuh syariah,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

 

KAF Digital Bank memaklumkan, kepakaran Suzaini merangkumi perbankan runcit, pengurusan kekayaan dan korporat, selain mempunyai rekod kukuh dalam pendigitalan, inovasi produk serta keterangkuman kewangan.

 

Sebelum menyertai bank itu, Suzaini menerajui bahagian deposit, pembayaran dan keterangkuman kewangan di Bank Simpanan Nasional, di mana beliau bertanggungjawab mengawasi jualan dan pengurusan prestasi negeri, inisiatif keterangkuman kewangan serta perkhidmatan kiriman wang.

 

Beliau juga memimpin usaha penyertaan dan penggunaan perbankan digital, pemasaran, inovasi produk, transformasi serta strategi perniagaan.

 

Suzaini sebelum ini pernah memegang jawatan kanan di Standard Chartered Saadiq, Emirates Islamic Bank di Dubai, HSBC Amanah dan Hong Leong Bank, selain menerima pengiktirafan serta anugerah industri atas kecemerlangan dalam perbankan. - DagangNews.com