JV Gamuda-Samsung raih kontrak kabel dasar laut Marinus Link di Australia bernilai hampir RM2.7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JV Gamuda-Samsung raih kontrak kabel dasar laut Marinus Link di Australia bernilai hampir RM2.7 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 DisGamuda Bhd mengukuhkan kehadirannya di Australia apabila usaha sama 50:50 dengan Samsung C&T Corporation berjaya memperoleh kontrak pembinaan bernilai hampir RM2.7 bilion bagi projek kabel dasar laut Marinus Link.

 

Kejayaan itu sekali gus memperkukuh kedudukan kumpulan itu dalam segmen infrastruktur tenaga boleh diperbaharui antarabangsa.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja infrastruktur sivil, struktur dan elektrik, dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan sekitar lima tahun.

 

Menurut Gamuda, projek Marinus Link akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rangkaian tenaga boleh diperbaharui Australia dengan membolehkan sambungan elektrik yang lebih besar antara Tasmania dan Victoria.

 

Kontrak yang diperoleh itu merupakan komponen utama terakhir bagi fasa pertama Marinus Link, yang akan menghubungkan barat laut Tasmania ke Lembah Latrobe, Victoria, melalui gabungan kabel dasar laut dan bawah tanah serta kemudahan stesen sokongan.

 

Projek strategik tersebut dimiliki bersama oleh Kerajaan Persekutuan Australia, Kerajaan Victoria dan Kerajaan Tasmania, mencerminkan kepentingannya dalam agenda keselamatan tenaga dan peralihan hijau negara itu.

 

Daripada jumlah nilai kontrak, bahagian hasil Gamuda dianggarkan sebanyak A$497 juta (RM1.34 bilion), dengan kerja-kerja di tapak dijangka bermula pada awal 2026.

 

Selain sistem arus terus voltan tinggi (HVDC), Marinus Link turut merangkumi pemasangan kabel gentian optik dan infrastruktur komunikasi lain, termasuk stesen penukar, melibatkan kira-kira 255 kilometer kabel dasar laut merentasi Selat Bass serta 90 kilometer kabel bawah tanah di Victoria.

 

Projek ini mempunyai kapasiti terancang sebanyak 1,500 megawatt, iaitu hampir tiga kali ganda kapasiti interkonektor Basslink sedia ada, dan dijangka meningkatkan kestabilan serta fleksibiliti bekalan elektrik antara kedua-dua wilayah tersebut.  - DagangNews.com