Juruaudit luar NexG letak jawatan susulan perubahan ketara komposisi lembaga pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruaudit luar NexG letak jawatan susulan perubahan ketara komposisi lembaga pengarah

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – NexG Bhd mengesahkan juruaudit luarnya meletakkan jawatan selepas mengambil kira perubahan ketara dalam komposisi lembaga pengarah syarikat itu sejak pelantikan dibuat kira-kira empat bulan lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, Baker Tilly Monteiro Heng PLT mengemukakan peletakan jawatan pada 14 Januari 2026 selepas dilantik pada mesyuarat agung tahunan syarikat pada 24 September 2025 menggantikan Crowe Malaysia PLT.

 

Menurut NexG, firma audit berkenaan mendapati komposisi lembaga pengarah telah berubah dengan ketara berbanding struktur yang wujud ketika penilaian awal penglibatan audit dijalankan.

 

 

 

 

 

“Oleh kerana audit belum dimulakan dan profil keseluruhan penglibatan kini berbeza daripada yang dinilai pada asalnya, Baker Tilly telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai juruaudit syarikat,” kata NexG dalam kenyataan itu.

 

Syarikat turut memaklumkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko telah meluluskan cadangan pelantikan SBY Partners PLT sebagai juruaudit luar baharu, tertakluk kepada penerimaan persetujuan bertulis firma tersebut untuk bertindak.

 

Menjelang penghujung tahun lalu, NexG menyaksikan rombakan besar dalam lembaga pengarahnya, khususnya selepas syarikat memperoleh beberapa kontrak kerajaan berskala besar. 

 

Antara September hingga November, beberapa pengarah kanan meletakkan jawatan termasuk timbalan pengerusi eksekutif merangkap pemegang saham utama Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, pengarah eksekutif Datuk Puvanesan Subenthiran, serta pengarah bebas Datuk Seri Mohd Sopiyan Mohd Rashdi dan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

 

 

 

 

 

 

Ia diikuti peletakan jawatan pengarah bukan eksekutif bebas Datuk Che Nazli Jaapar dan Datuk Ibrahim Abdullah.

 

Bagi mengisi kekosongan tersebut, NexG melantik beberapa pengarah baharu antara Oktober dan November, termasuk pengerusi eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd, Datuk Chong Loong Men, peguam amalan Aswath Ramakrishnan serta profesional kewangan Kunal Tayal. - DagangNews.com