KUALA LUMPUR 21 Jan – Jumlah volum industri (TIV) automotif Malaysia dijangka kembali normal kepada 780,000 unit pada 2026, susut 5% berbanding paras tertinggi 820,700 unit yang dicatatkan sepanjang 2025, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Menurut firma penyelidikan itu, prestasi luar biasa sektor automotif pada hujung tahun lalu, khususnya pada Disember 2025, didorong oleh kempen jualan agresif, penamatan pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) import serta penghantaran dipercepatkan, yang secara kolektif meningkatkan jualan ke paras rekod.
Bagaimanapun, HLIB Research menjangkakan industri akan kembali ke tahap yang lebih mampan pada 2026 seiring normalisasi permintaan.
“Kami menjangkakan pengeluar peralatan asal (OEM) nasional mampu mengekalkan momentum jualan ke tahun 2026, manakala jenama bukan nasional berkemungkinan terus berdepan tekanan susulan persaingan yang semakin sengit daripada pemain baharu yang menawarkan harga agresif, reka bentuk lebih baik serta penawaran produk yang dipertingkatkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu turut memberi amaran sektor berkenaan mungkin menghadapi tekanan pendapatan berikutan jumlah jualan yang lebih rendah serta peningkatan kos operasi akibat usaha promosi yang berterusan.
Namun, tekanan tersebut dijangka dapat diimbangi sebahagiannya oleh pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan yen Jepun, yang berpotensi mengurangkan kos input dan import.
Dalam landskap pasaran yang kembali normal, HLIB Research mengekalkan MBM Resources (beli, harga sasaran: RM7.10) dan Sime Darby Bhd (beli, harga sasaran: RM2.50) sebagai pilihan utama bagi 2026.
Menurut firma itu, MBM Resources terus mendapat manfaat daripada jualan stabil Perodua, manakala Sime Darby disokong oleh prestasi segmen perindustrian, pemulihan bahagian China Motor, serta sumbangan yang lebih baik daripada UMW.
Kedua-dua syarikat juga menawarkan hasil dividen menarik sekitar 5-7%, menjadikan mereka pilihan yang lebih berdaya tahan dalam persekitaran pasaran automotif yang sedang menyesuaikan diri. - DagangNews.com








