KUALA LUMPUR 23 Jan — RHB Research meramalkan jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia terus lebih sederhana kepada 805,000 unit sepanjang 2026, susut sekitar 2% tahun ke tahun (YoY).
Perkembangan lemah itu dijangka selepas mencatatkan pertumbuhan selama empat tahun berturut-turut, berikutan kitaran penggantian kenderaan yang semakin perlahan dan asas perbandingan yang tinggi.
Firma penyelidikan tersebut dalam laporan sektor automotif terbaharunya berkata, 2025 merupakan tahun prestasi tertinggi dalam sejarah industri berkenaan, dengan TIV mencecah 820,752 unit.
"Ia melepasi rekod sebelumnya pada 2024, dengan prestasi kukuh dipacu oleh permintaan domestik, pembiayaan yang positif serta pertumbuhan ekonomi mampan," kata RHB Research dalam analisisnya.
Tambahnya lagi, perkembangan yang cukup menggalakkan itu dapat dilihat jelas khususnya sepanjang Disember 2025 menyaksikan jualan keseluruhan secara bulanan berjaya mencecah lebih 90,000 unit.
Menurut firma berkenaan, faktor pertumbuhan TIV pada 2025 didorong terutamanya oleh jenama bukan nasional, dengan BYD dan Chery masing-masing mencatat lonjakan jualan yang melebihi 70% YoY.
RHB Research berkata, Perodua mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju jenama nasional dengan 44% pegangan, manakala Proton terus tumbuh positif berikutan pengenalan model baharu dan naik taraf.
"Sementara itu, TIV kenderaan elektrik (EV) mencatat prestasi cemerlang pada 2025 apabila naik lebih 100% YoY, tetapi menjangkakan pertumbuhan sepanjang 2026 akan menjadi berbeza," jelasnya.
Segmen berkenaan tambah firma tersebut, diramal lebih tertumpu kepada model pemasangan tempatan (CKD) susulan penamatan insentif cukai bagi EV import sepenuhnya (CBU) bermula 1 Januari 2026.
Beberapa pemain utama kata RHB Research, seperti BYD, Xpeng dan Proton sudah mula merancang atau mengumumkan pengeluaran CKD bagi menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan pemilikan EV.
Dari sudut makroekonomi, ia berpandangan keadaan kekal menyokong pembelian kenderaan berikutan kadar pengangguran stabil pada 2.9%, serta kos pinjaman daripada institusi perbankan yang rendah.
"Seiring perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif, dan dengan pandangan yang berhati-hati," kata firma itu.
Situasi pasaran pada 2026 jelas RHB Research, akan dipengaruhi persaingan sengit dalam segmen bukan nasional dan ketiadaan pemangkin jangka pendek untuk melonjakkan TIV ke paras rekod baharu.
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko utama yang boleh menjejaskan prospek termasuk tekanan harga dan permintaan yang lebih lembap daripada jangkaan. - DagangNews.com








