JRK Holdings terbit IPO 260 juta saham baharu, rancang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JRK Holdings terbit IPO 260 juta saham baharu, rancang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 JanJRK Holdings Berhad merancang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana keperluan modal kerja dan menyokong pelan pengembangan masa hadapan.


Menurut draf prospektus pemaju hartanah itu, sebanyak 259.99 juta saham baharu diterbitkan menerusi tawaran awam permulaan (IPO), yang merangkumi 48.16 juta saham untuk orang awam warga Malaysia. 


Sejumlah 9.63 juta saham lagi diperuntukan kepada individu yang berkelayakam, manakala 120.39 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera serta 81.82 juta saham pula kepada pelabur terpilih.


"Tiada tawaran penjualan saham yang sedia ada oleh pemegang saham semasa, manakala harga IPO dan permodalan pasaran indikatif masih belum lagi ditetapkan kumpulan ini," kata JRK dalam kenyataan.


Kumpulan ditubuhkan pada 2014, merupakan pemaju yang memberi tumpuan pembangunan kediaman dan komersial, terutama di Lembah Klang, serta diterajui Pengarah Urusan, Datuk Seri Kwan Aik Khai.


Sejak memulakan operasi pembangunan hartanah, ia sudah menyiapkan tiga projek iaitu JRK Senesta, JRK Convena dan JRK Delta, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM337.62 juta.


Pada ketika ini, JRK memiliki satu projek yang dalam pembinaan, iaitu JRK Celestia, dengan GDV sebanyak RM136.09 juta, serta kerja dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir 2028.


"Selain itu, syarikat masih mempunyai beberapa pembangunan yang dalam perancangan dan pelaksanaan termasuk di Petaling Jaya Selatan, Puchong, Seri Kembangan, Setapak dan Bukit Lanjan," jelasnya.


Setakat tarikh terkini tambahnya, JRK memiliki rizab tanah kira-kira hamper tiga hektar, merangkumi tanah persendirian dan tanah kawalan untuk kegunaan pelbagai projek pembangunan masa hadapan.


Hasil IPO itu katanya, akan digunakan terutamanya bagi membiayai modal kerja projek yang sedia ada dan akan datang, termasuk kos pembinaan, pemasaran, yuran profesional dan bayaran statutori.


Sebahagian dana berkenaan jelas JRK, juga akan diperuntukkan untuk pemerolehan tanah baharu dan pembangunan usaha sama (JV), walaupun belum ada lagi projek khusus yang dikenal pasti setakat ini.


"Daripada sebanyak enam projek yang sedang dan akan dibangunkan, tiga merupakan projek JV dengan pemilik tanah berkaitan, iaitu JRK Delta Residence, JRK Equine dan JRK Elysia," kata kumpulan itu.


Dari segi prestasi kewangan pula, bagi tempoh tujuh bulan berakhir 31 Julai 2025, keuntungan bersih JRK menyusut 5.78% kepada RM7.1 juta, manakala hasilnya merosot kepada kira-kira RM49.59 juta.


Bagaimanapun, bagi FY24, kumpulan pemaju tersebut mencatat prestasi kukuh dengan keuntungan bersih melonjak 67.7% kepada RM10.92 juta, dan pendapatan meningkat 80.7% kepada sebanyak RM117.65 juta.


Selepas penyenaraian, pegangan Aik Khai akan berkurangan daripada 74.9% kepada 54.7%, manakala pegangan Ketua Pegawai Operasi Projek, Lim Boon Kiong, menyusut daripada 4.1% kepada 2.97%.


"Syarikat pelaburan persendirian dikendalikan oleh kedua-dua individu tersebut, Mont Asset, turut menyaksikan pengurangan pegangan daripada sebanyak 12.4% kepada 9.1% sahaja," jelas JRK.


Kenanga Investment Bank Berhad dilantik kumpulan tersebut untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com