Johor peruntuk RM802 juta bagi naik taraf perbandaran, sasar 82 projek utama menjelang 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor peruntuk RM802 juta bagi naik taraf perbandaran, sasar 82 projek utama menjelang 2026

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Sept - Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM802 juta bagi meningkatkan infrastruktur, kemudahan awam dan keupayaan digital di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) menjelang tahun 2026.

 

Perbelanjaan ini merupakan sebahagian daripada Draf Belanjawan 2026 bagi portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Jafni Shukor, kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi awal minggu ini.

 

Sebanyak 82 projek berimpak tinggi bernilai RM310.9 juta akan dilaksanakan di bawah pelan tersebut, meliputi kerja-kerja jalan raya, kemudahan awam, pencantikan bandar, inisiatif Bandar Pintar serta pengurusan banjir.

 

“Belanjawan ini menekankan konsep Bandar Pintar di bawah Johor PlanMalaysia sebagai salah satu tonggak utama.

 

“Projek seperti Johor Urban Observatory, pemasangan kamera pintar, lampu jalan pintar, lampu isyarat pintar dan pendigitalan sistem PBT akan membawa Johor setanding dengan bandar-bandar maju di rantau ini,” kata Jafni dalam satu hantaran di Facebook.

 

Perincian projek tersebut termasuk RM81 juta bagi 22 projek naik taraf kemudahan awam, RM53.6 juta untuk 14 projek pencantikan bandar, RM18 juta bagi 12 inisiatif Bandar Pintar, serta lebih RM115 juta untuk pembangunan infrastruktur dan jalan raya.

 

Antara inisiatif utama termasuk pembinaan dewan komuniti, gelanggang futsal berbumbung, Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC), serta menaik taraf pasar dan gerai.

 

Ciri keselamatan bandar dan digital akan merangkumi pemasangan lampu jalan pintar dan kamera litar tertutup (CCTV), manakala peruntukan tambahan disalurkan untuk kerja-kerja tebatan banjir dan landskap.

 

Jafni turut mengulangi komitmen kerajaan negeri terhadap sasaran perumahan jangka panjang, termasuk pembangunan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030.

 

“Selain itu, kita akan terus memacu pembinaan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030, di samping memastikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) diselenggara dengan lebih teratur,” ujarnya.

 

Beliau menambah, pelan pembangunan ini bertujuan menyokong pertumbuhan inklusif dan mampan di seluruh negeri, dengan pihak berkuasa tempatan bertindak sebagai rakan pelaksana utama dalam merealisasikan aspirasi bandar Johor.

 

Jafni yakin dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, Draf Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif, progresif dan mampan di Johor. - DagangNews.com