JOHOR BAHRU 22 Ogos - Johor mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara dengan merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM56 bilion bagi separuh pertama 2025 (1H2025).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata pencapaian itu mengekalkan momentum cemerlang selepas Johor merekodkan prestasi pelaburan tertinggi pada suku pertama tahun ini (1Q2025) dengan RM30.1 bilion, sekali gus mencatat RM56 bilion bagi 1H2025, hampir 30% daripada jumlah pelaburan negara dalam tempoh sama (RM190.3 bilion).
Beliau menegaskan pencapaian itu bukan sekadar angka semata-mata, tetapi mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa dan domestik terhadap kekuatan asas ekonomi Johor.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengiktiraf prestasi Johor dengan berkata, “Prestasi Johor amat memberangsangkan, mendahului negara bagi 1Q2025 (RM30.1 bilion) dan 1H2025 (RM56.0 bilion). Ini mencerminkan pengukuhan asas ekonomi negeri, yang dipacu inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), salah satu daya tarikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan strategik dalam rantau ASEAN.”
“Secara tidak langsung, ia juga membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif strategik dan projek termasuk JS-SEZ, yang kini menjadi pemacu utama integrasi ekonomi serantau dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi.
“Selain itu, ekosistem perindustrian yang kukuh dari hab elektrik dan elektronik, kimia, logistik, ke pusat data dan tenaga lestari, serta infrastruktur pelabuhan, lebuh raya dan bakat tempatan [antara faktor] yang menjadikan Johor pilihan pelabur global,” kata Lee dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Lee berkata fasilitasi pelaburan secara proaktif melalui Pusat Fasilitasi Invest Malaysia Johor, yang memendekkan tempoh kelulusan dan memastikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan segera, turut menunjukkan kejayaan pelbagai strategi dan projek yang dilaksanakan.
“Pelaburan ini dijangka bukan sahaja meningkatkan kapasiti ekonomi, tetapi juga mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Johor, memperkukuh rantaian nilai tempatan, menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem perindustrian global serta memacu transformasi teknologi, sejajar dengan aspirasi Johor menjadi hab perindustrian digital dan maju di rantau ini.
“Oleh itu, kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, agensi pelaburan dan rakan industri bagi memastikan setiap pelaburan direalisasikan dan memberi impak sebenar kepada rakyat, sambil menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian, selaras dengan agenda Pelan Laluan Peralihan Tenaga Negara dan komitmen terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya. - Bernama








