Joe Holding lanjutkan tempoh penggunaan baki hasil penempatan persendirian RM13.27 juta selama 12 bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Joe Holding lanjutkan tempoh penggunaan baki hasil penempatan persendirian RM13.27 juta selama 12 bulan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 JanJoe Holding Berhad melanjutkan tempoh selama 12 bulan bagi menyelesaikan penggunaan semua baki daripada hasil penempatan persendirian yang berjumlah RM13.27 juta. 


Dana tersebut jelas kumpulan pengeluar bateri automotif tersebut, diperuntukkan untuk pelaburan dalam perniagaan sarung tangan yang dikendalikan sendiri oleh anak syarikatnya, Joe Glove Sdn Bhd.


Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan RM26.62 juta diperoleh menerusi penempatan persendirian yang selesai pada 13 Januari 2021, sebanyak RM13.35 sudah digunakan sepenuhnya setakat 13 Januari 2026.


"Baki yang belum dimanfaatkan itu adalah bagi segmen pelaburan perniagaan sarung tangan, manakala peruntukan modal kerja dan perbelanjaan anggaran telah selesai," maklum Joe kepada Bursa Malaysia. 


Lembaga Pengarah memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggunaan baki dana tersebut bagi memberi ruang tambahan kepada kumpulan merealisasikan pelaburan berkaitan perniagaan sarung tangan.


Katanya, ia susulan kelewatan operasi di kilang, namun empat barisan mesin celupan sarung tangan nitril dan getah asli jenis bebas serbuk sudah siap dipasang di fasiliti syarikat di Chepor, Ipoh, Perak.


Bagaimanapun jelas Joe, ujian operasi masih belum dapat dimulakan berikutan isu bekalan tenaga elektrik, berikutan kabel tembaga yang dipasang Tenaga Nasional Berhad (TNB) beberapa kali dicuri. 


"Kejadian itu menyebabkan kelewatan tidak dijangka, dengan laporan polis sudah dibuat dan sedang berhubung dengan TNB bagi proses pemasangan semula kabel oleh kontraktor bertauliah," katanya.


Pada masa sama, pengurusan kumpulan meneruskan usaha mendapatkan pensijilan yang diperlukan serta membuat persediaan pengeluaran komersial sejurus semua kelulusan pihak berkuasa berkaitan diterima.


Joe selain itu menegaskan lanjutan tempoh penggunaan hasil penempatan persendirian ini tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia atau pemegang saham syarikat. 


Kumpulan turut memberi jaminan akan terus mengurus dana tersebut secara berhemat dan telus, selain mengemas kini status penggunaannya dalam laporan kewangan tahunan. - DagangNews.com