KUALA LUMPUR 19 Jan — Infomina Berhad berada pada fasa pertumbuhan baharu apabila pasaran Jepun muncul sebagai pemacu utama, disokong oleh buku tempahan yang melonjak ke paras rekod RM555 juta.
Menurut AmInvestment, perkembangan positif dengan pelbagai kerja tambahan di negara maju itu bukan lagi sekadar pilihan strategik, sebaliknya sudah beralih menjadi penyumbang pertumbuhan sebenar.
Tambahnya, hasil daripada negara rantau Asia Timur tersebut berganda suku ke suku (QoQ) kepada RM4 juta, dan firma berkenaan menjangkakan sumbangan Jepun meningkat kepada 8% daripada hasil FY26.
"Kami turut meramalkan negara ini akan menjana pendapatan Infomina kira-kira 14% FY27, dengan potensi peluang hasil tahunan dianggarkan sekitar RM80 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada masa sama jelas AmInvest, keterlihatan pendapatan kumpulan itu semakin kukuh apabila buku tempahan meningkat 91% QoQ kepada RM555 juta, hasil kemenangan daripada kontrak berskala besar.
Ini kata firma itu, termasuk daripada Siam Commercial Bank (RM137 juta) di Thailand, Kementerian Dalam Negeri (KDN) (RM66 juta) dan Metropolitan Bank & Trust Company (RM137 juta) di Filipina
Artikel berkaitan: Infomina catat peningkatan hasil 35% kepada RM62.9 juta pada 2QFY26
Ia turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham, berasaskan jangkaan nisbah harga kepada pendapatan (PE) kira-kira 24 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham CY27.
"Kami juga menilai saham Infomina sebagai masih menarik kepada pelabur apabila diniagakan pada kira-kira 20% diskaun berbanding purata PE lima tahun syarikat berkenaan," jelas AmInvest lagi.
Dari segi prestasi kewangan, ia menjelaskan margin suku tahun terkini lebih rendah berikutan kos operasi di Jepun kini diiktiraf sebagai perbelanjaan dan tidak lagi diberikan permodalan.
Bagaimanapun keputusan keseluruhan masih selari jangkaan, dengan keuntungan teras separuh pertama berjumlah RM16 juta, mendatar tahun ke tahun dan mewakili 50% daripada anggaran setahun penuh.
Selain itu kata AmInvest, buku tender Infomina turut merangkumi sebanyak RM54 juta berkaitan perniagaan kecerdasan buatan (AI), iaitu sekitar 6% daripada keseluruhan saluran tender syarikat.
"Walaupun masih kecil, kami melihat segmen kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyumbang secara bermakna kepada keuntungan berikutan profil margin yang lebih tinggi," jelas firma tersebut.
Dari sudut imbangan kewangan pula tambahnya, kumpulan itu mengisytiharkan dividen 1.35 sen, yang jika dikekalkan secara separuh tahunan, ia membayangkan hasil dividen tahunan sekitar 2%.
Dengan kedudukan tunai bersih RM96 juta, kekuatan kunci kira-kira terus menjadi sokongan utama, selain membuka ruang peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A). - DagangNews.com








