JENDELA pacu peluasan liputan digital, 9.81 juta premis kini diliputi rangkaian – MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JENDELA pacu peluasan liputan digital, 9.81 juta premis kini diliputi rangkaian – MCMC

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperluaskan liputan serta kesalinghubungan digital negara menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Fasa 2.

 

Usaha tersebut merangkumi penambahbaikan liputan Internet di Tujuh Kawasan Tumpuan, iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.

 

MCMC berkata, di bawah JENDELA Fasa 1, liputan, kapasiti dan kualiti jalur lebar mudah alih telah dipertingkatkan melalui pembinaan 1,661 struktur menara komunikasi baharu dengan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) menerusi pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).

 

 

 

 

 

 

Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, setakat 31 Disember 2025, sebanyak 1,646 menara atau 99.1% telah siap dibina manakala 1,618 menara atau 98.3% daripada yang siap dibina telah beroperasi sepenuhnya bagi perkhidmatan 2G dan 4G. 

 

“Keseluruhan pembinaan menara berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026,” katanya.

 

Selain itu, bilangan premis yang diliputi rangkaian meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember 2025, sekali gus melepasi sasaran sembilan juta premis.

 

“Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 143.70 Mbps, melepasi sasaran yang ditetapkan,” kata MCMC. Pada masa sama, liputan Internet di kawasan berpenduduk meningkat daripada 91.8% sebelum JENDELA kepada 99.71% setakat akhir Disember 2025.

 

MCMC berkata, pencapaian ini disokong oleh inisiatif pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta manfaat perkongsian MOCN. 

 

“Bermula Ogos 2025, setiap MNO telah mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau oleh MCMC, disokong oleh Garis Panduan Industri bagi Perkongsian Infrastruktur Rangkaian,” menurut MCMC.

 

Bagi IPTA, MCMC berkata, lebih 34,000 titik akses Wi-Fi telah dipasang di 126 kampus universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan tambahan 73,768 titik akses Wi-Fi dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh.

 

Di kem tentera, penyediaan kemudahan gentian optik melibatkan 73 kem akan memberi capaian Gentian Optik ke Rumah (FTTH) kepada 59,240 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), katanya.

 

Sementara itu, bagi kawasan acara, liputan dan kapasiti rangkaian mudah alih dipertingkatkan di 18 IPTA dan 17 kawasan acara, termasuk Sepang Circuit, SPICE Arena Penang, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

 

Menurut MCMC, pendekatan pelaksanaan yang bersasar dan berfasa ini membolehkan peluasan liputan Internet dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk seperti sepanjang jajaran lebuh raya melalui penggunaan teknologi yang sesuai dengan keperluan setempat atau menepati tujuan.

 

 

 

 

 

 

 

“MCMC akan terus memantau pelaksanaan ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses Internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” katanya. - DagangNews.com