KUALA LUMPUR 22 Sept - ITMAX System Bhd melalui anak syarikat miliknya, Southmax Sdn. Bhd. yang dimiliki 65%, telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bernilai RM50.97 juta bagi penyediaan perkhidmatan pemasangan dan sewaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri kecerdasan buatan (AI), butang kecemasan serta lampu isyarat pintar.
Kontrak itu turut merangkumi penubuhan Pusat Operasi Pintar Bersepadu Batu Pahat dalam kawasan pentadbiran MPBP, dengan tempoh kontrak selama 180 bulan (15 tahun) bermula 1 September 2025.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMAX berkata nilai kontrak tersebut termasuk cukai perkhidmatan, manakala tarikh efektif bagi pengambilalihan tapak pemasangan ditetapkan pada 1 September 2025.
Terma kontrak dan penalti kelewatan
Berdasarkan syarat utama LOA, Southmax akan dikenakan Liquidated and Ascertained Damages (LAD) sekiranya berlaku kelewatan dalam penyampaian kerja atau bekalan peralatan.
Bagi kelewatan perkhidmatan dan bekalan, LAD dikira berdasarkan sewaan bulanan setiap unit, bilangan hari kelewatan, bilangan peralatan serta penalti 1%.
Bagi kegagalan memulakan atau menyiapkan perkhidmatan, LAD dikira berdasarkan formula kadar pinjaman asas (Base Lending Rate) + 1% didarab nilai kontrak, dibahagi tempoh 365 hari.
Impak kewangan positif
ITMAX menjelaskan, kontrak ini dijangka menyumbang positif kepada keuntungan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak sehingga tamat pada tahun 2040.
Lembaga Pengarah ITMAX menambah, risiko berkaitan kontrak ini hanyalah risiko operasi biasa dan tidak menjangkakan sebarang risiko material lain yang boleh menjejaskan prestasi kewangan kumpulan.
Tidak perlu kelulusan pemegang saham
LOA ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham ITMAX mahupun pihak berkuasa berkaitan.
"Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan," kata ITMAX.
MPBP merupakan pihak berkuasa tempatan di bawah Kerajaan Negeri Johor yang mentadbir Daerah Batu Pahat. - DagangNews.com








