ITMAX dijangka raih lebih banyak kontrak CCTV di seluruh Johor, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX dijangka raih lebih banyak kontrak CCTV di seluruh Johor, kata HLIB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept - ITMAX System Bhd dijangka meraih lebih banyak kontrak bagi pemasangan dan pengurusan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di bandar-bandar kecil di Johor seperti Kluang dan Muar, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Pada masa ini, syarikat tersebut melalui anak syarikat milik 65%-nya, Southmax, telah memperoleh enam kontrak CCTV daripada pihak berkuasa tempatan di Johor.

 

Terbaharu, ITMAX menerima surat tawaran (LoA) daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi penyediaan CCTV bernilai RM50.9 juta.

 

 

 

 

 

 

Di bawah perjanjian itu, MPBP dijangka memasang kira-kira 200 unit kamera dilengkapi dengan 15 ciri kecerdasan buatan (AI), dengan pelaksanaan penuh disasarkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

LoA tersebut turut merangkumi penyediaan dan pengurusan lima lampu isyarat pintar sedia ada di kawasan berkenaan, manakala persimpangan lain akan ditawarkan setelah kontrak vendor semasa tamat.

 

Menurut HLIB Research, pasaran secara umumnya sudah menjangkakan penganugerahan terbaharu itu.

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya kumpulan ini berada pada kedudukan kukuh untuk meraih lebih banyak kontrak majlis perbandaran, khususnya berikutan usaha Johor mendorong dasar sistem tunggal,” kata firma penyelidikan itu dalam laporannya.

 

Setakat ini, ITMAX telah mendapat kontrak CCTV bagi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Pengerang, Kulai dan Batu Pahat, dan kumpulan itu menjangka tambahan kemenangan daripada bandar-bandar kecil lain seperti Kluang dan Muar.

 

Selain kontrak baharu, HLIB Research berkata pihak pengurusan ITMAX turut menekankan bahawa pelaksanaan dalam kawasan majlis yang sedia ada terus berkembang.

 

Sebagai contoh, Johor Bahru pada mulanya memasang 500 unit, namun kini telah meminta penambahan bagi menyokong pembangunan infrastruktur bandar pintar untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Kajian Johor Bahru sendiri menunjukkan keperluan kira-kira 34,000 unit berbanding hanya 500 unit yang telah dipasang.

 

HLIB Research mengekalkan saranan “beli” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran RM5.71 berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun menggunakan kadar diskaun 7% dan kadar pertumbuhan terminal 3%.

 

“Anggapan pertumbuhan terminal kami mencerminkan prospek jangka panjang pemasangan CCTV di seluruh Malaysia, disokong oleh inisiatif pendigitalan nasional dan bandar pintar.”

 

Sebagai perbandingan, pelaksanaan semasa ITMAX sebanyak 10,000 unit CCTV untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih jauh lebih kecil berbanding 90,000 unit di Singapura – dengan republik itu menyasarkan 200,000 unit menjelang 2030.

 

“Dari semasa ke semasa, kami menjangkakan ITMAX dapat memanfaatkan infrastruktur yang dibina melalui aplikasi bandar pintar seperti digital twin, penilaian impak trafik dan analitik, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital bandar,” tambah laporan itu.

 

 

 

 

 

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih ITMAX meningkat kepada RM23.07 juta berbanding RM19.16 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh sumbangan kukuh daripada segmen penyelesaian infrastruktur digital.

 

Selain itu, hasil meningkat kepada RM58.46 juta berbanding RM53.25 juta tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan lebih tinggi daripada perkhidmatan video pengawasan, analitik dan langganan. - DagangNews.com