KUALA LUMPUR 27 Jan — Status projek gas di Mexico yang masih belum dimuktamadkan pihak berkuasa negara itu tidak menjejaskan prospek jangka sederhana Coastal Contracts Berhad, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut sebaliknya menyatakan langkah awal sudah dimulakan di bawah arahan kerja kecemasan (EWI) daripada syarikat petroleum kebangsaan Mexico, Petróleos Mexicanos (Pemex).
Katanya, projek usaha sama (JV) melibatkan Coastoil Dynamic SA De CV bersama rakan kongsi SIC dan Nuvoil, malah memulakan kerja reka bentuk, pembekalan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan.
"Kami yakin loji pemanis gas kedua berkapasiti sehingga 200 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) di lapangan Ixachi itu dapat berjalan mengikut jadual," tambah TA Securities dalam notanya hari ini.
EWI tersebut jelasnya, kelaziman dikeluarkan di bawah rangka kerja pengecualian kecemasan Pemex bagi menangani isu pembakaran gas terbuka yang berlaku secara mendesak di medan carigali berkenaan.
Walaupun terma komersial seperti nilai dan tempoh kontrak masih dalam rundingan, firma itu kekal berpandangan risiko kontrak adalah terhad, disokong oleh mekanisme kecemasan Pemex sendiri.
Selain itu jelas TA Securities, hubungan operasi jangka panjang Coastal Contracts dengan syarikat minyak nasional Mexico ini adalah baik, dan tender rasmi dijangka dimuktamadkan sekitar Mac 2026.
"Kami menjangkakan projek tersebut menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih bermula FY26, dengan sumbangan ketara pada FY27 apabila aktiviti sudah dipertingkatkan," katanya.
Menurut firma itu, pengumuman tersebut sejajar dengan panduan awal kumpulan tersebut mengenai perbincangan berterusan dengan Pemex bagi penambahan kapasiti pemprosesan gas di Ixachi sendiri.
Projek berkenaan disifatkan sebagai strategik, kerana bukan sahaja mengukuhkan hubungan Coastal Contracts dengan Pemex, malah mengesahkan keupayaan pelaksanaan JV dalam projek berskala besar.
Dari segi kapasiti pula tambah TA Securities, loji baharu tersebut mewakili pengembangan kira-kira 29% daripada bilangan muatan pemprosesan fasiliti yang sedia ada di Ixachi sebanyak 680 mmscfd.
"Setelah siap ditauliahkan, jumlah kapasiti pemprosesan dijangka naik kepada 880 mmscfd, termasuk sumbangan dari loji di Papan, Perdiz, Papan Kedua serta Perdiz Kedua yang dicadangkan," katanya.
Buat masa ini, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan Coastal Contracts tanpa perubahan berikutan ketiadaan butiran kontrak, serta mengekalkan harga sasaran (TP) RM2.21 sesaham.
Jangkaan tersebut tambah TA Securities, berdasarkan kepada penilaian jumlah bahagian (SOP) dengan saranan yang tidak berubah iaitu ‘beli’ ke saham kumpulan itu. - DagangNews.com








