KUALA LUMPUR 20 Jan — Kebergantungan kepada perjanjian rakan strategik utama serta risiko tindakan undang-undang di mahkamah Filipina kekal sebagai antara cabaran kritikal ke atas Infomina Berhad.
Menurut Kenanga Research, ini termasuk kemungkinan pembatalan perjanjian rakan strategik dengan Broadcom serta kes pertikaian kontraknya di negara itu, yang berpotensi menjejaskan prestasi kumpulan.
Bagaimanapun firma penyelidikan itu berpandangan, prospek pertumbuhan syarikat masih kukuh disokong momentum tempahan berbilang tahun dan pendedahan strategik kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Kami memulakan liputan ke atas Infomina dengan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM1.90, yang mewakili potensi kenaikan ketara daripada harga semasa RM1.42," katanya dalam nota hari ini.
Penilaian itu jelas Kenanga, disandarkan kepada gandaan 25 kali nisbah harga kepada (PER) FY27, dan syarikat berada pada kedudukan baik memanfaatkan kitaran naik pemodenan berlandaskan rekod kukuh.
Momentum buku tempahan kumpulan tambahnya, memberi keterlihatan pendapatan selama dua hingga tiga tahun, dengan pengurusan menyasarkan nilai antara RM500 juta hingga RM600 juta menjelang FY26.
Firma penyelidikan itu turut menekankan peningkatan kualiti pendapatan Infomina berikutan peralihan struktur kepada pendapatan secara berulang dengan penerimaan margin yang diramal lebih tinggi.
"Campuran kontrak pembaharuan meningkat ketara daripada kira-kira 49.7% pada FY22 kepada 87.0% pada FY25, sekali gus melonjakkan margin kasar kumpulan kepada sebanyak 30.4%," kata Kenanga lagi.
Walaupun margin kumpulan dijangka sedikit tertekan pada FY26 susulan peningkatan sementara projek 'turnkey' bermargin rendah, firma tersebut menjangkakan pengembangan semula margin pada FY27.
Satu lagi pemacu pertumbuhan utama ialah potensi lonjakan di pasaran Jepun, apabila Infomina mula menembusi pangkalan pelanggan mainframe dengan anggaran hasil RM80 juta hingga RM100 juta setahun.
Di samping itu tambah Kenanga, tonggak baharu AI serta platform data kumpulan, termasuk AiMod, AiExe, dan ValuationXchange, dilihat menawarkan jaminan opsyen pertumbuhan secara jangka panjang.
"Platform ini mencatat daya tarikan awal dengan beberapa pelanggan perusahaan dan institusi perbankan tempatan, sejajar peningkatan sokongan dasar kerajaan terhadap penggunaan AI," katanya.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran risiko kemungkinan pembatalan atau tidak diperbaharui perjanjian rakan serantau dengan Broadcom, serta keputusan mahkamah tidak memihak di Filipina.
Secara keseluruhan, Kenanga menilai Infomina sebagai pemain teknologi perusahaan dengan pendedahan unik kepada ekosistem AI, serta berpotensi mencipta nilai mampan. - DagangNews.com








