Isu persaingan sengit di India menekan segmen hiliran Sarawak Oil Palms, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu persaingan sengit di India menekan segmen hiliran Sarawak Oil Palms, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jan — Persaingan yang semakin sengit di pasaran India terus memberi tekanan kuat kepada segmen hiliran Sarawak Oil Palms Berhad, menurut RHB Research dalam analisisnya.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut kekal optimis terhadap prospek kumpulan perladangan berkenaan, didorong oleh faktor jangkaan prestasi pada tempoh suku keempat (4Q25) yang kukuh.


Justeru ia mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM4.22 daripada RM4.15 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan 11% serta hasil dividen sekitar 3%.


"Sarawak Oil Palms dijangka mencatat suku tahunan terkuat bagi tahun kewangan 2025 dengan untung  selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) diunjur mampu meningkat," kata RHB Research lagi.


Ia jelas firma berkenaan, boleh naik antara 10% hingga 27% suku ke suku (QoQ) kepada RM130 juta hingga RM150 juta pada 4Q25, dengan prestasi positif ini disokong oleh lonjakan pengeluaran.


Antaranya tambah firma itu, buah tandan segar (BTS) diramal meningkat kira-kira 16% QoQ, minyak sawit mentah (MSM) naik sebanyak 32% QoQ dan isirung sawit (PK) pula boleh melonjak 39% QoQ.


Peningkatan ini kata RHB Research, dijangka lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi penurunan harga purata jualan (ASP), apabila harga MSM dan PK masing-masing susut 2.7% dan 3.3% QoQ.


"Bagi keseluruhan FY25, pengeluaran BTS Sarawak Oil Palms berkembang 3.13%, melepasi unjuran awal firma itu, manakala pengeluaran MSM dan PK masing-masing mencatat -1.4% dan +2.3%," jelasnya.


Situasi itu tambahnya, disokong pembelian BTS luaran yang lebih tinggi daripada jangkaan awal, dan sehubungan itu, firma tersebut menaikkan andaian pembelian BTS luaran bagi tempoh FY25 hingga FY27.


Dari segi kos pula, RHB Research meramalkan pengeluaran unit FY25 menurun kepada RM2,400 hingga RM2,500 satu tan berbanding RM2,600 pada FY24, dengan hasil harga baja yang lebih rendah.


Sementara kredit isirung dijangka lebih tinggi dan penambahbaikan proses dalaman, namun kos mungkin meningkat semula pada FY26 susulan kenaikan harga baja tender antara 15% hingga kira-kira 20%.


"Dalam segmen hiliran Sarawak Oil Palms, kami menjangkakan margin lebih rendah berikutan persaingan yang meningkat serta perubahan levi eksport Indonesia mulai Mac 2026," kata firma berkenaan lagi.


Walaupun demikian jelas RHB Research, pengurusan kumpulan tersebut difahamkan kekal positif dan sedang mencari sejumlah pembeli berkualiti serta harga yang lebih baik di luar pasaran India.


Dari sudut pulangan pemegang saham, syarikat itu menyasarkan peningkatan pembayaran dividen apabila kedudukan tunai bersih melepasi RM1.5 billion, dengan dividen FY25 diunjur kekal 12 sen sesaham.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangka kadar pembayaran bagi FY26 hingga FY27 boleh meningkat kepada sebanyak 25% hingga 27%, yang menawarkan hasil dividen sehingga 3.7% setahun.


"Secara keseluruhan, kami menaikkan unjuran pendapatan Sarawak Oil Palms secara sederhana bagi FY25 hingga FY27 dan menilai saham masih menarik, di sebalik isu saingan di India," katanya. - DagangNews.com