KUALA LUMPUR 26 Sept - Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, Ireka Corp Bhd yang kini berada di bawah status Practice Note 17 (PN17), dijangka dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 7 Oktober ini.
Penyahsenaraian itu dijangka berlaku selepas permohonan lanjutannya untuk mengemukakan pelan penstrukturan semula ditolak oleh pengawal selia bursa.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata dagangan sekuritinya akan digantung mulai 3 Oktober, kecuali jika rayuan terhadap proses nyahsenarai dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 2 Oktober.
“Selepas dinyahsenarai, syarikat akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai.
“Syarikat masih boleh meneruskan operasi perniagaan serta melaksanakan penstrukturan korporat, dan para pemegang saham masih boleh menikmati ganjaran daripada prestasi syarikat.
“Namun, para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disenaraikan dan diniagakan di Bursa Securities,” jelas kenyataan itu. - DagangNews.com








