IPO MM Computer Systems terlebih langgan 42.12 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO MM Computer Systems terlebih langgan 42.12 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Mei - Tawaran awam permulaan (IPO) MM Computer Systems Bhd (MMCS) telah terlebih langgan sebanyak 42.12 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 11 Jun ini.

 

Penyedia penyelesaian teknologi maklumat itu berkata sebanyak 15,363 permohonan bagi 1.22 bilion saham terbitan, bernilai RM268.95 juta, telah diterima daripada orang awam Malaysia bagi 28.35 juta saham terbitan yang ditawarkan untuk permohonan.

 

“Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 6,358 permohonan bagi 365.80 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 24.81 kali.

 

“Bagi bahagian bukan Bumiputera pula, sebanyak 9,005 permohonan bagi 856.73 juta saham terbitan diterima, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 59.44 kali,” katanya dalam kenyataan media.

 

Kumpulan itu memaklumkan, sebanyak 28.35 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada pelabur yang layak telah pun dilanggan sepenuhnya.

 

MMCS turut berkata, sebanyak 38.77 juta saham terbitan yang ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah diperuntukkan sepenuhnya.

 

Selain itu, sebanyak 70.88 juta saham IPO yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah disalurkan sepenuhnya selepas mengambil kira peruntukan clawback dan reallocation seperti yang dinyatakan dalam prospektus.

 

Di bawah penempatan persendirian itu, sebanyak 100.90 juta saham IPO yang terdiri daripada 62.30 juta saham terbitan dan 38.60 juta saham tawaran telah diperuntukkan kepada 314 pelabur, termasuk pelabur terpilih serta pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan MITI.


 

MM Computer

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MMCS, Young Yoong Chang (gambar atas) berkata, sambutan ini mencerminkan pengiktirafan pelabur terhadap rekod prestasi operasi MMCS, pelaksanaan berfokuskan pelanggan serta peranan syarikat dalam menyokong persekitaran IT perusahaan merangkumi infrastruktur IT, rangkaian dan penyelesaian keselamatan siber.

 

"Hasil IPO ini akan terus memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek, menyokong pengembangan tenaga kerja teknikal serta meningkatkan keupayaan kami untuk berkhidmat kepada GLC dan perusahaan dengan keperluan infrastruktur IT serta keselamatan siber yang semakin kompleks.

 

"Menjelang penyenaraian, fokus kami kekal pada pelaksanaan berdisiplin, kualiti perkhidmatan dan membina MMCS sebagai penyedia penyelesaian IT perusahaan yang berdaya tahan untuk jangka panjang,” ujar beliau. - DagangNews.com