Inta Bina menang kontrak RM66.5 juta daripada Eco Majestic bagi projek di Hulu Langat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inta Bina menang kontrak RM66.5 juta daripada Eco Majestic bagi projek di Hulu Langat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Sept - Inta Bina Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB) menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM66.52 juta daripada Eco Majestic Development Sdn Bhd bagi kerja-kerja bangunan utama projek pembangunan kediaman berpagar dan berkawalan (hakmilik strata) di Precinct 5, Fasa 1A, Eco Majestic, Hulu Langat, Selangor.

 

Pembangunan tersebut merangkumi pelbagai jenis kediaman, termasuk rumah sesebuah dua tingkat, rumah berkembar dan rumah teres dua tingkat jenis Garden Home, selain sebuah stesen suis utama (SSU) di atas sebahagian Lot 44034, Mukim Beranang, Hulu Langat.

 

Menurut Inta Bina, tempoh pembinaan projek itu adalah selama 20 bulan, bermula pada 22 September 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 Mei 2027.

 

Syarikat menyatakan tiada risiko ketara dijangka timbul selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh pembinaan.

 

"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh projek. Lembaga Pengarah berpendapat kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” kata Inta Bina dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

“Kontrak ini akan dibiayai melalui dana dalaman dan/atau pinjaman luar, serta dimeterai dalam urusan biasa perniagaan kumpulan,” kata syarikat itu lagi. - DagangNews.com