Inisiatif pendigitalan PKS perlu diutamakan dalam Belanjawan 2026 - Xero Asia   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif pendigitalan PKS perlu diutamakan dalam Belanjawan 2026 - Xero Asia  

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kerajaan disaran memberi fokus kepada inisiatif pendigitalan bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini.

 

Pengarah Urusan Xero Asia, Koren Wines berkata, PKS yang menyumbang 97% daripada jumlah perniagaan negara menghadapi pelbagai cabaran dalam proses pendigitalan.

 

Ini katanya, termasuk kekurangan pemahaman, sumber terhad, kurang kepakaran teknikal dan kebimbangan terhadap keselamatan data. 

 

KOren Wines
Pengarah Urusan Xero Asia, Koren Wines

 

Justeru sokongan kerajaan yang khusus amat diperlukan untuk membantu PKS mengatasi halangan ini dan meningkatkan daya saing mereka di era digital.

 

“Bajet 2026 adalah peluang terbaik untuk mempercepatkan transformasi digital PKS melalui pemberian geran dan subsidi khusus bagi penggunaan teknologi AI dan awan, selain kerjasama awam-swasta dalam latihan kemahiran,” katanya dalam kenyataan.

 

Wines berkata, setiap PKS mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza, justeru, pendekatan yang lebih holistik dan terperinci diperlukan untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang tepat.

 

Beliau turut menekankan kepentingan panduan keselamatan siber yang praktikal dan disesuaikan mengikut saiz dan keperluan PKS agar mereka dapat mengadaptasi teknologi digital dengan selamat dan berkesan.

 

Katanya, dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada 50% KDNK menjelang 2030, belanjawan tahun hadapan harus menjadi pemangkin utama dalam membina ekosistem PKS yang lebih digital dan berdaya tahan, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

 

Beliau percaya, teknologi digital dan perkakasan berasaskan awan mampu menjadikan perniagaan efisien, produktif dan inovatif memacu pertumbuhan dan keuntungan syarikat. 

 

Wines berkata, awal tahun ini kajian kesediaan dalam kalangan PKS Malaysia terhadap pelaksanaan e-invoice menunjukkan pola halangan yang sama iaitu tentang pemahaman sistem, sumber terhad dan kekurangan kepakaran teknikal.

 

"Halangan ini bukan sahaja berlaku dalam e-invoice, namun memberi gambaran menyeluruh tentang cabaran yang dihadapi kebanyakan peniaga berkaitan cabaran pendigitalan perniagaan," katanya. - DagangNews.com