KUALA LUMPUR 5 Ogos – Infomina Bhd, melalui anak syarikat 99.95% miliknya, Infomina Philippines Inc, telah memfailkan saman sivil terhadap Bank of the Philippine Islands (BPI) bagi menuntut pampasan bernilai PHP1.65 bilion (kira-kira RM133 juta) berhubung pertikaian kontrak pembelian dan penyelenggaraan perisian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat memaklumkan bahawa saman tersebut difailkan hari ini di Mahkamah Perbicaraan Serantau Makati, Filipina.
Pertikaian timbul selepas BPI didakwa menamatkan kontrak secara tidak sah yang dimeterai pada 29 Oktober 2021, serta gagal melaporkan penggunaan perisian yang dijual semula seperti termaktub dalam perjanjian.
Infomina mendakwa bahawa BPI telah menamatkan perjanjian tersebut secara sebelah pihak pada 22 September 2022, dan tidak mengemukakan laporan penggunaan yang telah mencetuskan caj lebihan (overage fees) di bawah terma kontrak.
Tuntutan yang difailkan termasuk, yuran langganan yang tidak dibayar, caj lebihan penggunaan, faedah lewat bayar, kos guaman dan lain-lain perbelanjaan berkaitan Infomina turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat peruntukan hutang ragu sebanyak RM10 juta berkaitan kes ini, yang telah direkodkan dalam penyata kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025.
Syarikat menjangkakan bahawa kes sivil ini tidak akan memberi impak kewangan atau operasi yang ketara terhadap kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.
Infomina telah melantik firma guaman Ocampo & Suralvo Law Offices bagi mewakili mereka dalam prosiding ini dan kekal optimis terhadap merit tuntutan yang dikemukakan.
Di bawah undang-undang Filipina, BPI mempunyai tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan saman rasmi, yang boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi, untuk mengemukakan pembelaan balasnya. - DagangNews.com








